Siapa bakal ganti Gibran?

Siapa bakal ganti Gibran?

DARI kiri: Puan Maharani, Agus Harimurti Yudhoyono dan Sufmi Dasco Ahmad.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Beberapa tokoh politik termasuk Agus Harimurti Yudhoyono (AHY), Puan Maharani dan Sufmi Dasco Ahmad disebut-sebut bakal menggantikan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden Indonesia. 

Parti yang menyokong kerajaan Prabowo Subianto menyerahkan keputusan akhir kepada presiden, meskipun sesetengah pihak memberi bayangan mengenai calon pilihan mereka menjelang perbincangan lanjut dalam gabungan minggu depan. 

Pengerusi Parti Amanat Nasional (PAN), Zulkifli Hasan berkata, empat parti dalam gabungan kerajaan iaitu Gerindra, PAN, Golkar dan Parti Demokrat diberi tempoh seminggu untuk membincangkan calon berpotensi secara dalaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, gabungan itu bersetuju calon yang dicadangkan perlu datang daripada Gerindra, manakala keputusan akhir diserahkan kepada Prabowo yang juga Presiden parti berkenaan.

Penganalisis politik Universiti Gadjah Mada, Nyarwi Ahmad berpendapat Prabowo mungkin memilih gandingan yang lebih muda serta mempunyai pengalaman dalam politik, birokrasi dan pentadbiran kerajaan, selain tidak dilihat sebagai ancaman politik kepadanya menjelang pilihan raya 2029.

Beliau menyenaraikan Agus yang merupakan Pengerusi Parti Demokrat; tokoh kanan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P); Puan Maharani dan Pengerusi Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Muhaimin Iskandar sebagai calon berpotensi.

Menurut Nyarwi, AHY boleh menjadi pilihan daripada kalangan gabungan pemerintah berdasarkan usianya yang masih muda serta pengalaman dalam kerajaan.

Maharani pula berpotensi dipertimbangkan jika Prabowo mahu mengukuhkan hubungan politik dengan PDI-P, namun perkara itu bergantung kepada keputusan dalaman parti berkenaan termasuk Pengerusinya, Megawati Soekarnoputri.

Beliau turut menyifatkan pengalaman politik Muhaimin serta kepimpinannya dalam PKB sebagai kelebihan yang boleh dipertimbangkan.

Satu lagi nama turut diketengahkan oleh parti gabungan apabila Timbalan Pengerusi PKB, Moh. Rano Alfath berkata, partinya tidak akan mencalonkan anggota sendiri, sebaliknya melihat Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang juga ahli politik Gerindra, Sufmi sebagai calon sesuai.

Rano berkata, pengalaman politik Sufmi, kesetiaannya kepada Prabowo serta keupayaannya merapatkan jurang kepentingan antara kerajaan, Parlimen dan pelbagai kelompok masyarakat menjadi kelebihan tokoh itu.

Sementara itu, Golkar memaklumkan tidak akan mengemukakan sebarang calon dan menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Prabowo.

Ahli Parlimen Golkar, Melchias Markus Mekeng berkata, Presiden boleh mencalonkan ahli politik atau golongan profesional kerana tiada syarat yang menetapkan calon mesti datang daripada parti gabungan pemerintah.

Prabowo pada Sabtu mengesahkan beliau akan menentukan calon berkenaan selepas selesai melakukan lawatan rasmi ke Filipina dan China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini