HERZLIYA: Parti pimpinan Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu dan seterunya, Gadi Eisenkot menamatkan pusingan baharu rundingan semalam tanpa mencapai sebarang kata sepakat berhubung pembentukan kerajaan campuran yang menuntut kompromi daripada kedua-dua pihak.
Delegasi daripada parti Yashar pimpinan Eisenkot dan parti Likud milik Netanyahu bermesyuarat selama empat jam di sebuah hotel berhampiran Tel Aviv, susulan pusingan pertama perbincangan pada 15 November lalu.
”Pusingan terbaharu rundingan gabungan ini sudah berakhir. Kedua-dua pihak menggariskan pendirian masing-masing berhubung pelbagai isu utama dan membincangkannya secara terperinci.
”Mesyuarat susulan akan diadakan,” menurut kedua-dua parti dalam satu kenyataan bersama tanpa memperincikan tarikh atau maklumat lanjut.
Bekas ketua turus tentera itu mempunyai tempoh sehingga 6 Disember ini untuk membentuk kerajaan baharu dengan kemungkinan lanjutan selama 14 hari, selepas pilihan raya pada Oktober lalu gagal memberikan majoriti mutlak kepada mana-mana blok politik.
Blok pimpinan Eisenkot yang mempunyai 48 ahli parlimen dan memerlukan sekurang-kurangnya 61 kerusi bagi membentuk majoriti, masih berbelah bahagi sama ada mahu menjalin kerjasama dengan parti ultra-Ortodoks, berbaik semula dengan parti Arab atau menubuhkan kerajaan perpaduan nasional bersama Likud.
Netanyahu kini giat mendesak penubuhan kerajaan perpaduan nasional yang berkemungkinan menyaksikan sistem penggiliran jawatan perdana menteri antara mereka berdua, iaitu mekanisme yang pernah dipraktikkan di Israel sebelum ini.
Langkah demikian berpotensi membolehkan Netanyahu mengekalkan perlindungan politik terhadap pertuduhan rasuah yang dihadapinya, selain terus menentang penubuhan suruhanjaya siasatan bebas berhubung kegagalan keselamatan sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Bagaimanapun, cadangan itu berdepan jalan buntu susulan keengganan Eisenkot untuk berkhidmat dalam kabinet yang diterajui Netanyahu, yang menjadi sasaran utama kempen pilihan rayanya.
Sekutu rapatnya yang juga bekas perdana menteri, Naftali Bennett, turut mengulangi pendirian pada Sabtu bahawa beliau menolak sekeras-kerasnya untuk menyertai sebarang gabungan bersama Netanyahu atau blok pimpinannya dalam apa jua keadaan.
Sabtu lalu, Yashar menyifatkan penyambungan semula rundingan itu sebagai bukti komitmen tulen bagi membentuk kerajaan dengan sokongan paling meluas, sambil memaklumkan Eisenkot meminta wakilnya meneroka semua pilihan yang ada.
Namun, Likud segera menetapkan beberapa syarat bagi penyertaannya dalam kerajaan perpaduan tersebut, termasuk menuntut supaya dihentikan segala serangan peribadi dan hasutan kebencian terhadap Netanyahu serta pentadbirannya.
Parti itu turut menggesa supaya semua parti yang menyokong kewujudan Israel sebagai negara bangsa bagi orang Yahudi dihimpunkan tanpa penyertaan parti-parti Arab.- AGENSI











