Hampir semua penerbangan Belgium dibatalkan esok

Hampir semua penerbangan Belgium dibatalkan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Hampir semua penerbangan di Belgium dijangka dibatalkan esok selepas pengendali kawalan trafik udara negara itu memaklumkan kakitangannya akan menyertai mogok kebangsaan bagi membantah langkah penjimatan kerajaan.

Syarikat yang bertanggungjawab menguruskan kawalan trafik udara di negara itu, Skeyes, dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata pihaknya tidak dapat menyediakan perkhidmatan biasa di lapangan terbang serta ruang udara Belgium antara pukul 7 pagi (2 petang waktu Malaysia) hingga 9 malam pada hari berkenaan.

“Jumlah kakitangan yang dijangka bertugas tidak mencukupi untuk menjamin keselamatan pengendalian trafik udara biasa sepanjang tempoh berkenaan. Sehubungan itu, Skeyes terpaksa menggantung sementara perkhidmatan terbabit,” menurut kenyataan syarikat itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Belgium berdepan siri mogok berulang sebagai bantahan terhadap usaha Perdana Menteri, Bart De Wever untuk menjimatkan €10 bilion (RM45.13 bilion) dalam tempoh beberapa tahun akan datang bagi mengurangkan defisit negara yang tinggi.

Bagaimanapun, Skeyes memaklumkan perkhidmatan minimum yang penting bagi tujuan kecemasan serta penerbangan kritikal melibatkan aspek keselamatan akan terus beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Lapangan Terbang Charleroi yang merupakan hab utama Eropah bagi syarikat penerbangan tambang murah Ryanair menyifatkan mogok pengawal trafik udara itu akan mengakibatkan penutupan sepenuhnya semua lapangan terbang di negara ini sepanjang hari, sekali gus menjejaskan ribuan penumpang.

“Tanpa kawalan trafik udara, tiada penerbangan boleh berlepas atau mendarat,” kata pihak lapangan terbang itu sambil mengecam tindakan tersebut sebagai keputusan saat akhir yang membawa kesan buruk.

Lapangan Terbang Brussels yang juga lapangan terbang terbesar di negara berkenaan pula mengesahkan sebahagian besar penerbangan berlepas dan tiba terpaksa dibatalkan.

De Wever yang merupakan pemimpin konservatif Flemish kini terikat dalam rundingan berpanjangan bersama rakan gabungan kerajaannya bagi mencapai kata sepakat berhubung bajet pemotongan kos baharu menjelang Isnin.

Awal bulan ini, beliau pernah menawarkan peletakan jawatan selepas kerajaan gabungannya gagal mencapai persetujuan, namun Raja Belgium, Raja Philippe menolak tawaran itu dan memberikannya lebih masa untuk mencari jalan penyelesaian. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini