Belgium haram import barangan dari wilayah diduduki Israel - Utusan Malaysia

Belgium haram import barangan dari wilayah diduduki Israel

ANGGOTA keselamatan Israel meronda kawasan kejiranan Al-Tireh di pintu masuk barat bandar Ramallah, di Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kerajaan Belgium meluluskan siri langkah sekatan baharu dalam mesyua­rat terakhirnya sebelum cuti musim panas termasuk larangan mengimport barangan yang dihasilkan dari wilayah diduduki Palestin.

Memetik laporan agensi berita Belga, sekatan import itu merupakan sebahagian daripada persetujuan yang dicapai oleh pihak kerajaan pada penghujung musim panas lalu. Ia adalah sebagai tindak balas terhadap serangan ketenteraan rejim Israel di Gaza dan peningkatan mendadak angka kematian orang awam.

Bagaimanapun, perincian me­­ngenai mekanisme pelaksanaan larangan tersebut masih belum dimuktamadkan buat masa ini.

Langkah drastik Belgium itu diambil ketika rejim Zionis dilihat terus mencabuli perjanjian gencatan senjata yang telah mula berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, pelanggaran gencatan senjata oleh pihak Israel setakat ini telah mengorbankan lebih 1,100 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 3,600 yang lain.

Kementerian tersebut turut men­dedahkan bahawa kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 73,000 nyawa rakyat Palestin dan menyebabkan lebih 173,000 cedera, selain memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur awam di wilayah terkepung itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin pada Jumaat memberi amaran bahawa Israel kini sedang memacu pelan penempatan haram baharu di Tebing Barat yang diduduki. Projek berkenaan melibatkan pembinaan 1,024 unit penempatan di atas lebih 432 hektar tanah milik rakyat Palestin.

Suruhanjaya itu menegaskan, pihak berkuasa Israel sengaja mempercepatkan peluasan penempatan haram berkenaan menerusi projek-projek yang bertujuan untuk mengukuhkan penaklukan tanah dan memperluaskan petempatan di seluruh wilayah yang diduduki.

Jelasnya, Majlis Perancangan Tertinggi Israel yang beroperasi di bawah Pentadbiran Awam rejim telah membincangkan sembilan pelan penempatan sejak awal Julai lalu yang kini telah memasuki peringkat kelulusan dan deposit.

Pelan tersebut merangkumi 1,024 unit penempatan baharu, dengan 455 unit daripadanya telah diluluskan manakala baki 569 unit lagi telah didepositkan bagi prosedur perancangan tambahan.

Suruhanjaya itu turut menyifatkan projek-projek tersebut sebagai sebahagian daripada dasar sistematik Israel. Ia bertujuan untuk memperkukuh blok penempatan mereka di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur melalui peluasan kawasan secara mendatar dan peningkatan kepadatan perumahan bagi menampung lebih ramai pendatang haram Yahudi.

Rejim Israel kini dilaporkan semakin fokus untuk memperluaskan penempatan sedia ada berbanding membina penempatan baharu, dengan cara meminda pelan pembinaan, peraturan penggunaan tanah dan pengezonan semula bagi meningkatkan kepadatan penempatan mereka. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN