Rakyat Malaysia ditahan jadi pengutip wang sindiket penipuan

Rakyat Malaysia ditahan jadi pengutip wang sindiket penipuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Seorang rakyat Malaysia ditahan di Bangkok kerana disyaki menjadi pengutip wang bagi sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai, selepas memperdaya seorang wanita berusia 75 tahun sehingga menyerahkan wang tunai dan emas bernilai kira-kira 8.25 juta baht (RM999,000).

Polis berkata, lelaki itu turut dipercayai mengutip wang berjumlah 1.95 juta baht (RM236,000) daripada seorang pelajar universiti berusia 18 tahun di Samut Prakan.

Suspek, Muhammad Nor bin Abu Bakar, 36, ditahan di sebuah hotel di daerah Lat Phrao berdasarkan waran tangkap Mahkamah Jenayah Thonburi atas kesalahan bersubahat melakukan penipuan dengan menyamar sebagai individu lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penahanan itu diumumkan di Balai Polis Bang Bon pada 20 November lalu.

Menurut polis, wanita terbabit yang identitinya hanya didedahkan menggunakan nama samaran, menerima panggilan telefon pada 12 Oktober daripada individu tidak dikenali yang bertanya sama ada dia ada membuat pesanan ubat terlarang.

Pemanggil itu kemudian mengarahkannya membuat laporan polis di Mae Sot, wilayah Tak. Wanita berkenaan mengeluarkan wang sebanyak 950,000 baht pada 14 Oktober, dua juta baht pada 21 Oktober dan tiga juta baht pada 22 Oktober.

Pada 7 November, mangsa sekali lagi menyerahkan wang tunai berjumlah satu juta baht bersama emas seberat 20 baht, iaitu unit ukuran berat emas yang digunakan di Thailand.

Semua wang tunai dan emas itu diserahkan kepada anggota sindiket di kediamannya.

Pada penyerahan wang kali kedua, lelaki itu memberikan telefon bimbit kepada wanita berkenaan yang didakwanya milik kerajaan, selain memberi amaran supaya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa, termasuk ahli keluarganya.

Sindiket berkenaan kemudian memutuskan hubungan selepas menerima bayaran terakhir, menyebabkan mangsa membuat laporan di Balai Polis Bang Bon pada 9 November.

Ketika disoal siasat, suspek mendakwa dia diupah seorang lelaki warga Malaysia dan tidak mengetahui sampul yang diserahkan kepadanya mengandungi wang tunai, menurut polis.

Dia memberitahu pihak berkuasa bahawa dia diarahkan mengelak kamera litar tertutup (CCTV) dan menyelitkan sampul berkenaan di bawah pintu tandas sebuah stesen minyak PTT di Jalan Rama II, kawasan Samae Dam.

Suspek menerima bayaran sebanyak 5,000 baht (kira-kira RM605) bagi setiap tugasan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini