KRW FC peroleh kemenangan sulung di Kota Bharu

KRW FC peroleh kemenangan sulung di Kota Bharu

AMIN Faisal Mohd. Saidi menyelamatkan pintu gawan KRW FC daripada dibolosi Sabah FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam ini. - IHSAN Sportsync Empire
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memperoleh kemenangan sulung di gelanggang sendiri apabila menewaskan Sabah FC 2-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV. di sini sebentar tadi.

KRW FC terlebih dahulu menguji gawang Sabah melalui rembatan deras Emmanuel Mbarga dari luar kotak penalti seawal minit keenam tetapi berjaya ditepis keluar oleh Juan Flere.

Bagaimanapun nasib lebih menyebelahi pelawat apabila Jose Martin memanfaatkan peluang yang terhasil daripada sepakan percuma diambil Dominic Tan untuk menanduk masuk gol pembukaan Sabah pada minit ke-31.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketinggalan satu gol, kem tuan rumah cuba bangkit dan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang Sabah, namun dihantui ketumpulan jentera penyudah.

Situasi berkenaan berterusan sehingga ke penghujung separuh masa pertama, menyaksikan kedua-dua pasukan bergerak masuk ke bilik persalinan dengan Sabah kekal mendahului 0-1.

Bermula babak kedua, KRW FC menggandakan usaha untuk mencari gol penyamaan namun berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan Sabah.

Skuad kendalian Juan Torres Garrido hampir menghukum kealpaan pertahanan Kelantan pada minit ke-54 apabila Darren Lok berjaya melarikan bola ke dalam Kawasan berbahaya tuan rumah, namun tindakan berani penjaga gol KRW FC, Amin Faisal Mohd. Saidi menyelamatkan keadaan.

KRW FC berjaya mendapatkan gol penyamaan apabila larian Musa Philip Dandada gagal disekat barisan pertahanan Sabah FC sebelum mengumpan bola untuk disudahi oleh Muhammad Rizuan Muda pada minit ke-72.

Gol tersebut membangkitkan semangat buat tuan rumah sehingga berjaya menambah jaringan melalui rembatan Mbarga pada minit ke-85 selepas menerima hantaran menarik daripada Musa Philip.

Jaringan tersebut memuktamadkan kemenangan KRW FC sekali gus memberikan mereka tiga mata pertama yang cukup berharga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini