DUNGUN : Isteri kepada bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datin Nor Aizam Abu Bakar menyertai Pas, diikuti tiga lagi pemimpin sayap Srikandi parti itu.
Penyertaan Nor Aizam, isteri Datuk Razali Idris, diumumkan Pengarah Program, Sheikh Mohd Hanafi Abdul Aziz sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Terengganu PRU16 dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di sini, malam tadi.
Turut menyertai Pas ialah Ketua Srikandi Muda Negeri Terengganu, Nor Dalila Zainal Abidin bersama Norayu Jusoh dan Wan Nirani Wan Hassan.
Penyertaan empat individu berkenaan dikatakan dibuat secara sukarela selepas mengambil keputusan untuk bersama-sama dengan perjuangan Pas.
“ Srikandi-Srikandi ini telah mengambil keputusan untuk bersama-sama dengan kita,” katanya.
Perkembangan itu menyaksikan Pas menerima penyertaan baharu daripada kalangan pemimpin dan ahli sayap Bersatu Terengganu ketika parti berkenaan mula menggerakkan jentera bagi menghadapi PRU16.-UTUSAN











