Ismail kekal MB N. Sembilan

Ismail kekal MB N. Sembilan

ISMAIL Lasim semasa sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di Seremban semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Datuk Ismail Lasim kekal sebagai Menteri Besar se­perti mana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selepas beliau menghadap baginda di Istana Hinggap di sini, semalam.

Dalam sesi menghadap tersebut, beliau juga melafazkan taat setia dan akujanji mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah selain berikrar untuk mempertahankan kedaulatan baginda.

Ismail juga menyatakan akan menghalang sebarang usaha sama ada dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jabatan kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedudukan baginda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Serentak itu juga, beliau memberitahu, Proklamasi Menurunkan Takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 19 April lalu sebagai tidak sah dan tidak akan diwartakan. 

Ismail yang juga ADUN Juasseh berkata, beliau memberikan jaminan untuk komited dan terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan.

“Saya tanpa berbelah bagi menyatakan bahawa Tuanku Muhriz kekal bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Besar Ne­geri Sembilan yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau men­dedahkan tidak pernah mengemukakan surat perletakan jawatannya kepada Tuanku Muhriz seperti yang dilaporkan pada Isnin lalu.

Ismail berkata, beliau tidak pernah pun bersetuju dan tidak menyedari surat itu dihantar kepada baginda, sebaliknya hanya mengetahuinya tentang perkara itu melalui kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam media sosial kira-kira pukul 10 malam hari yang sama.

Tegasnya, beliau tidak menghantar surat tersebut dan tidak tahu individu yang dikatakan menghantar surat itu ke Istana Hinggap di sini.

“Baginda menitahkan dalam sesi mengadap tadi agar saya meneruskan khidmat sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan kepentingan rakyat negeri ini terpelihara.

“Sehubungan itu saya akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komitmen dan dedikasi,” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, semalam.

Terdahulu, Ismail, 67, menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini bermula jam 10.30 pagi selesai pada jam 11.35 pagi tadi.

Isnin lalu, isu perletakan jawatan Ismail kecoh selepas Setia­usaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dilapor mendedahkan Ismail meletakkan jawatan dan salinan surat yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diberikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan parti itu me­ngarahkan Ismail meletakkan jawatan,  keputusan berkenaan bukannya hasil arahan parti.

“Tidak timbul soal itu, kerana peletakan jawatan itu dibuat oleh Ismail sendiri,” katanya.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali kemudian dalam satu kenyataan berkata, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini