Warden tak wajar jadi tugas guru - Utusan Malaysia

Warden tak wajar jadi tugas guru

NOOR HISAM NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perjawatan hakiki warden perlu diwujudkan di semua sekolah berasrama bagi meningkatkan pemantauan dan keselamatan pelajar, seterusnya membendung kejadian buli.

Walaupun setiap sekolah berasrama mempunyai warden, tugas berkenaan masih dipikul oleh guru yang mempunyai tugas hakiki sebagai pendidik.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, adalah wajar warden diberikan penugasan khusus agar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan asrama tanpa dibebani tanggungjawab mengajar pada keesokan pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang asrama mempunyai warden tetapi mereka terdiri daripada guru. Pelantikan sebagai warden itu ibarat satu beban tugas tambahan kerana mereka juga perlu menjalankan tanggungjawab mengajar pada keesokan paginya.

“Keadaan ini menyebabkan pemantauan pada waktu malam sukar dilaksanakan secara optimum. Berdasarkan laporan polis yang diterima sebelum ini, kejadian buli di asrama didapati kerap berlaku antara pukul 1 hingga 2 pagi.

“Saya berharap cadangan mewujudkan jawatan hakiki warden asrama dapat diluluskan supaya mereka dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap aspek pengawasan dan pemantauan keselamatan pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 8 April lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan, seramai 300 personel MyStep Pembantu Warden Asrama (MyPWA) dilantik dan mula ditempatkan di sekolah-sekolah berasrama di seluruh negara bermula 1 April.

MyPWA berperanan membantu warden khususnya dalam pemantauan waktu malam bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid asrama dapat terus diperkukuhkan.

Noor Hisam turut mengingatkan penggiat industri filem dan drama supaya lebih peka terhadap pengaruh kandungan berunsur keganasan terhadap golongan remaja.

Katanya, golongan muda mudah terpengaruh dengan kandungan yang ditonton kerana mereka masih dalam proses membentuk pemikiran dan tingkah laku.

“Kadang kala, contoh yang tidak baik lebih mudah melekat dalam fikiran remaja berbanding mesej positif yang cuba disampaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini