PETALING JAYA: Johor berpotensi muncul sebagai kuasa ekonomi utama negara dan berupaya mencabar kedudukan Selangor dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Potensi tersebut didorong oleh perkembangan pesat sektor perindustrian, peningkatan pelaburan asing serta pembangunan infrastruktur.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, potensi Johor untuk menjadi antara kuasa ekonomi utama negara sebenarnya sudah wujud sejak 1990-an, namun tidak dikembangkan sepenuhnya ketika itu.
Katanya, potensi berkenaan kini mula terserlah menerusi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kemunculan bandar baharu serta peningkatan keupayaan pelabuhan dan kemudahan pengangkutan.
“Johor memang mempunyai potensi untuk muncul sebagai kuasa ekonomi utama di Malaysia sejak sekian lama, cuma kapasiti itu tidak diperluaskan dan tidak digilap sepenuhnya pada waktu itu.
“Bagaimanapun, sekarang potensi tersebut mula ditunjukkan terutama menerusi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta pembangunan bandar baharu seperti Forest City dan lain-lain pembangunan dalam perancangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kedudukan geografi Johor yang strategik berhampiran Singapura dan Indonesia turut memberikan kelebihan besar kepada negeri itu dalam mengembangkan aktiviti perdagangan antarabangsa, khususnya urusan import dan eksport.
Katanya, kewujudan Pelabuhan Tanjung Pelepas serta beberapa pelabuhan utama lain membolehkan Johor meningkatkan kapasiti perdagangan melalui laluan laut, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara hab perdagangan penting negara.
Selain itu, pembangunan kemudahan pengangkutan termasuk hubungan rel antara Johor Bahru dengan Singapura serta rangkaian perkhidmatan kereta api turut menjadi pemangkin kepada pergerakan manusia dan barangan.
Mengulas faktor kepesatan ekonomi negeri itu, Bashir berkata, corak pentadbiran yang agresif serta usaha kepimpinan Johor menarik pelabur antarabangsa turut memainkan peranan penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Katanya, usaha membuka ruang perdagangan kepada pelabur dari China, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan India berupaya meningkatkan aliran pelaburan serta mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negeri berkenaan.
“Perkembangan pesat sektor perindustrian, teknologi, pusat data dan pelaburan langsung asing (FDI) di Johor memang mampu menjadikan negeri itu sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Johor menyasarkan untuk menjadi pemain utama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan pusat data,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan sektor berkenaan, ditambah dengan peningkatan FDI serta pembangunan bandar baharu, berpotensi menjadikan Johor sebuah negeri maju yang berdaya saing dan mampu memberikan saingan kepada negeri maju lain.
Menurutnya, Johor juga mempunyai peluang untuk mengambil alih kedudukan Selangor sebagai negeri dengan kekuatan ekonomi utama, sekiranya momentum pertumbuhan semasa dapat dikekalkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kemampuan Johor merealisasikan potensi tersebut bergantung kepada keupayaan memastikan pembangunan JS-SEZ berjalan secara maksimum serta menarik lebih banyak syarikat antarabangsa untuk melabur di negeri itu.
Katanya, Johor perlu memberi tumpuan kepada usaha menarik syarikat dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah yang mempunyai kepakaran dalam bidang AI, teknologi hijau serta pusat data bagi menjadikan negeri itu sebagai hab pelaburan berkualiti tinggi. – UTUSAN











