Toksin E-coli penyebab kanser usus golongan muda

Toksin E-coli penyebab kanser usus golongan muda

SAINTIS mengenal pasti toksin kolibaktin yang dihasilkan oleh varian bakteria E coli dalam usus menjadi antara faktor penyumbang kepada kanser kolorektal pada usia muda.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pendedahan kepada toksin bakteria E-coli pada peringkat awal kehidupan dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang disyaki menyumbang kepada peningkatan kes kanser usus dalam kalangan individu berusia bawah 50 tahun.

Kes kanser usus yang menyerang golongan muda meningkat dua kali ganda di banyak negara sejak dua dekad lalu. Walaupun peningkatan obesiti dan penurunan aktiviti fizikal dikenal pasti sebagai antara penyumbang, penyelidik percaya terdapat faktor lain yang turut memainkan peranan.

Pakar Epidemiologi Molekul Universiti Oxford, Dr. Karl Smith-Byrne memberitahu Jawatankuasa Sains dan Teknologi Dewan Rakyat Britain, faktor risiko kanser kolorektal yang diketahui seperti obesiti, merokok dan pengambilan alkohol hanya dapat menjelaskan kira-kira separuh daripada kes yang didiagnosis oleh doktor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tahun lalu, saintis mengenal pasti toksin dikenali sebagai kolibaktin yang dihasilkan oleh beberapa varian bakteria E-coli dalam usus sebagai kemungkinan faktor penyumbang kepada kanser kolorektal pada usia muda.

Mutasi khusus yang menjadi petunjuk kesan toksin itu didapati tiga kali lebih kerap dalam tumor pesakit berusia bawah 40 tahun berbanding mereka yang berusia lebih 70 tahun.

Kajian lanjut masih diperlukan untuk menentukan sama ada kolibaktin benar-benar menjadi punca kanser usus, namun perkara itu kini giat disiasat saintis.

“Itu mungkin penjelasan utama setakat ini.”Jika toksin itu menyebabkan mutasi, ia berlaku ketika seseorang masih dalam peringkat awal kehidupan yang sensitif. 

“Keadaan itu boleh mempercepatkan proses perkembangan sel dalam kolon atau rektum seseorang ke arah pembentukan kanser atau tumor,” kata Smith-Byrne yang juga pernah menghidap kanser rektum pada usia muda.

Sementara itu, Profesor Institut Sanger, Mike Stratton yang tidak menghadiri sesi pendengaran itu berkata, kolibaktin menyebabkan mutasi dalam tubuh sesetengah kanak-kanak tetapi tidak pada kanak-kanak lain, dengan bukti mutasi dikesan seawal peringkat bayi.

Kajian beliau menunjukkan kanak-kanak yang terjejas boleh mempunyai beban mutasi setara individu berusia 50 tahun apabila mencapai usia 10 tahun.

Sesetengah penyelidik mengesyaki varian tertentu bakteria E-coli yang lazimnya hidup tanpa mendatangkan kemudaratan dalam usus mengalami perubahan sejak beberapa dekad lalu sehingga menghasilkan kolibaktin.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini