Jangkitan bakteria punca keluaran padi barat laut Selangor merosot - Utusan Malaysia

Jangkitan bakteria punca keluaran padi barat laut Selangor merosot

Padi Selangor
RIVOLDIANTOE Basran (kiri) menyerahkan hadiah kepada pesawah yang menerima anugerah pada Karnival Padi IADA Barat Laut Selangor di Peket 60, Sungai Besar, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Serangan penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB) dan kemarau menyebabkan hasil pengeluaran padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor merosot berbanding musim tanaman sebelum ini.

BPB berpunca bawaan bakteria yang kerap menyerang pokok padi pada peringkat berbunga iaitu antara 60 hingga 70 hari selepas aktiviti menabur benih.

Pengarahnya, Rivoldiantoe Basran berkata, sebanyak 14 peratus daripada lebih 17,000 hektar tanaman padi di kawasan pengairan itu diserang penyakit bakteria tersebut.

“Serangan penyakit itu menyebabkan padi tidak berisi sekali gus mengurangkan hasil tuaian musim kali ini. Hasil pengeluaran keseluruhan di kawasan ini pada musim lalu hanya mencapai 4.92 tan metrik,” katanya selepas merasmikan Karnival Padi IADA Barat Laut Selangor, hari ini.

Jelasnya, cuaca tidak menentu terutama kemarau juga menyebabkan beberapa kawasan tanaman di Sungai Besar lewat menerima kemasukan air.

“Apabila air dari Sungai Bernam melalui Ban Kenal dilepaskan ke sistem pengairan pada waktu tertentu, tidak semua blok pengairan menerima bekalan air secara serentak.

“Ia terlebih dulu akan melalui Sawah Sempadan sebelum ke sistem pengairan di Sungai Besar,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya terpaksa menggunakan pam bagi mendapatkan bekalan air dari sistem parit berhampiran sekali gus menyalurkan ke kawasan tanaman padi.

“Bagi menangani masalah itu, kami juga akan memastikan jadual penanaman semula itu dilakukan pada masa tertentu dan bukan pada musim kemarau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN