Lima penyandang, lima muka baharu barisi Exco Melaka

Lima penyandang, lima muka baharu barisi Exco Melaka

ABDUL Razak Abdul Rahman mengangkat sumpah jawatan di hadapan Mohd. Ali dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli MMKN di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ayer Keroh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka bagi penggal baharu menyaksikan lima penyandang sebelum ini dikekalkan dan lima muka baharu diberi kepercayaan bagi menganggotai pentadbiran kerajaan negeri.

Kesemua 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli MMKN di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.

Lima penyandang yang dikekalkan ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; ADUN Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; ADUN Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan dan ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lima muka baharu yang turut mengangkat sumpah ialah ADUN Klebang, Datuk Lim Bang Hong, ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; ADUN Gadek, S. Nadarajah; ADUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd. Sarif dan ADUN Ayer Molek, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali.

Pelantikan itu menyaksikan gabungan pemimpin berpengalaman dan muka baharu dalam barisan pentadbiran negeri, selain memberi ruang kepada wakil Perikatan Nasional (PN) untuk bersama-sama menganggotai kerajaan negeri buat pertama kalinya.

Pada PRN Melaka ke-16 yang berakhir Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN menang tiga kerusi.

Keputusan itu menyaksikan BN dan PN memperoleh 24 kerusi secara keseluruhan, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.

Ahad lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi meneruskan pentadbiran kerajaan negeri untuk penggal baharu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini