NEW YORK: PlayStation melaporkan gangguan perkhidmatan yang menjejaskan beberapa ciri rangkaiannya pada Rabu, beberapa jam sebelum permainan video Grand Theft Auto VI keluaran Rockstar Games dijadualkan dilancarkan, selepas pengguna melaporkan masalah meluas pada platform itu.
“Anda mungkin menghadapi kesukaran untuk melancarkan permainan, aplikasi atau menggunakan ciri rangkaian.
“Kami sedang berusaha menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Terima kasih atas kesabaran anda,” menurut Sony dalam notis di laman status rangkaiannya.
Syarikat itu tidak menyatakan punca gangguan berkenaan atau sama ada ia mempunyai kaitan dengan peningkatan trafik pengguna menjelang pelancaran permainan tersebut.
Grand Theft Auto VI, juga dikenali sebagai GTA VI, dijadualkan mula tersedia pada tengah malam Khamis mengikut zon waktu masing-masing di seluruh dunia.
Sony turut mengeluarkan kemas kini sistem wajib untuk konsol PlayStation 5 menjelang pelancaran permainan itu.
Gangguan berkenaan berlaku ketika beberapa platform teknologi utama Amerika Syarikat (AS), termasuk Microsoft 365, Apple dan perkhidmatan perbankan, turut berdepan siri gangguan perkhidmatan sejak kebelakangan ini.
Pegawai kerajaan persekutuan mengaitkan insiden berkenaan dengan kemas kini perisian rutin dan beban pengkomputeran yang tinggi, bukannya serangan siber.-AGENSI










