KUALA TERENGGANU: Dua orang lelaki yang dipercayai menjadi dalang kes samun bersenjata parang di sebuah kedai emas di Gong Badak di sini membabitkan kerugian kira-kira RM500,000, ditahan selepas enam hari diburu.
Kedua-dua suspek berusia 26 dan 37 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah penginapan di Sanglang, Ayer Hitam, Kedah kira-kira pukul 6.30 pagi,semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, penahanan itu hasil risikan dan siasatan menyeluruh sejak kejadian pada 12 November lalu.
Menurutnya, polis turut menahan seorang lagi individu sebelum ini yang dipercayai membantu suspek selepas kejadian menjadikan tiga individu ditahan setakat ini.
Mohd. Khairi berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian samun itu berlaku dalam tempoh singkat iaitu kira-kira 13 saat.
“Hasil siasatan awal turut membawa kepada penemuan sebuah kereta berwarna putih yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu di Kampung Pak Duyu, Kuala Terengganu.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek bertindak berasingan selepas kejadian bagi mengelakkan diri daripada dikesan polis, termasuk seorang dipercayai melarikan diri ke Thailand, manakala seorang lagi bersembunyi di sekitar Kuala Terengganu,” katanya semasa sidang akhbar hari ini.
Bagaimanapun, katanya, hasil risikan berjaya mengesan pergerakan mereka sehingga ke Kedah sebelum kedua-duanya ditahan ketika dipercayai merancang untuk melarikan diri ke Thailand.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas antaranya 47 utas gelang tangan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis percaya masih terdapat barang kemas yang belum ditemukan, sama ada masih dalam simpanan suspek atau telah dijual kepada pihak lain.
“Setakat ini, kami berjaya mendapatkan semula sebahagian barang kemas, namun jumlah nilai sebenar masih belum dapat dipastikan. Kami akan meneruskan siasatan dan mengambil keterangan suspek bagi mengesan serta mendapatkan semula semua barang kemas yang disamun,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman dan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 November ini.-UTUSAN











