PETALING JAYA:Persediaan persaraan di kalangan rakyat Malaysia bukan dipengaruhi oleh tahap pendapatan semata-mata, sebaliknya lebih bergantung kepada tabiat kewangan, tingkah laku dan sistem sokongan yang dibina sepanjang hayat, menurut kajian oleh Universiti Sains Malaysia yang dijalankan atas inisiatif FWD Malaysia (FWD).
Walaupun peningkatan kos sara hidup terus menjadi cabaran kepada ramai rakyat Malaysia, kajian tersebut mendapati faktor seperti literasi kewangan, perancangan jangka panjang dan pengaruh sosial memainkan peranan penting dalam membentuk tahap persediaan persaraan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Kajian tersebut turut mendapati bahawa hanya 12.5% daripada pesara mempunyai tahap sumber kewangan yang tinggi, sekali gus menekankan cabaran kewangan yang dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia dalam membuat persediaan menghadapi persaraan.
Kajian ini mengubah tanggapan umumbahawa jaminan kewangan selepas bersara ditentukan terutamanya oleh tahap pendapatan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa keupayaan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak, membentuk tabiat kewangan yang positif dan kekal komited terhadap matlamat jangka panjang adalah sama penting dalam menentukan kesejahteraan kewangan seseorang pada masa hadapan.
Namun, bagi kebanyakan rakyat Malaysia, perancangan persaraan sering diketepikan kerana keutamaan diberikan kepada keperluan kewangan yang lebih mendesak. Peningkatan kos kehidupan, komitmen keluarga dan ketidaktentuan ekonomi menyebabkan persaraan dilihat sebagai sesuatu yang masih jauh.
Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance Berhad., Mak See Sen berkata, kajian kami menunjukkan bahawa persediaan persaraan adalah satu perjalanan sepanjang hayat
“Pendapatan sememangnya penting, namun apa yang sering membezakan seseorang adalah keyakinan, pengetahuan kewangan dan sokongan yang dimiliki untuk membuat keputusan yang baik secara konsisten dari masa ke semasa. Sebab itu kami percaya literasi kewangan perlu bermula lebih awal, jauh sebelum persaraan menjadi satu kebimbangan.,” katanya.
Kajian tersebut turut mengetengahkan keadaan yang tidak stabil yang semakin meningkat dalam golongan berpendapatan sederhana di Malaysia. Walaupun mempunyai pendapatan yang agak stabil, ramai isi rumah M40 berdepan pelbagai tuntutan kewangan yang saling bersaing, termasuk komitmen perumahan, perbelanjaan pendidikan anak-anak serta tanggungjawab menyara ibu bapa yang semakin berusia. Dalam kalangan pesara, hampir 60% melaporkan menghidap satu atau lebih penyakit kronik utama seperti penyakit jantung, diabetes, artritis atau hipertensi, sekali gus menekankan beban kewangan tambahan yang dihadapi seiring pertambahan usia.
Sering dirujuk sebagai “generasi sandwic”, ramai individu bekerja perlu mengimbangi pelbagai tanggungjawab serentak sambil berusaha membina jaminan kewangan mereka sendiri.
Menurut FWD, cabaran-cabaran ini lazimnya berpunca daripada corak tingkah laku dan keputusan kewangan yang terbentuk sejak usia muda. Oleh itu, usaha untuk meningkatkan hasil persaraan perlu dimulakan lebih awal, sebelum seseorang mencapai kemuncak pendapatannya.
Bagi menangani isu ini, FWD telah melabur RM5 juta dalam membangunkan ekosistem literasi kewangan jangka panjang yang direka untuk menyokong rakyat Malaysia dari usia muda hingga dewasa.
Melalui program yang menyasarkan murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan mahasiswa universiti, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada lebih 12,000 peserta di seluruh negara, khususnya golongan belia daripada keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang berdepan cabaran kewangan.
Usaha ini merangkumi kerjasama jangka panjang FWD dengan Junior Achievement (JA) Malaysia, yang memperkasakan pelajar dengan pengetahuan literasi kewangan dan kemahiran keusahawanan penting menerusi program pembelajaran berasaskan pengalaman.
Program-program ini memberi tumpuan kepada kemahiran kewangan praktikal dan perubahan tingkah laku, termasuk pengurusan bajet, amalan menabung, penetapan matlamat serta membuat keputusan kewangan secara bertanggungjawab.
Kajian turut mendapati bahawa pengaruh sosial memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku kewangan seseorang. Ahli keluarga, rakan-rakan, mentor serta rangkaian komuniti sering mempengaruhi cara individu mengurus kewangan dan merancang masa depan mereka. Kajian tersebut turut mendapati bahawa kira-kira satu pertiga daripada pesara menunjukkan tanda-tanda cabaran kognitif, termasuk masalah pelupa, sekali gus menekankan kepentingan membina keyakinan serta ketahanan kewangan lebih awal bagi menghadapi cabaran di usia persaraan.
Menyedari hakikat ini, FWD memberi tumpuan kepada kerjasama berasaskan komuniti yang menggalakkan pembelajaran dan sokongan sesama rakan. Menerusi kerjasamanya dengan ARUS Academy melalui program Fun(d) for Life: University Edition, para peserta digalakkan menerapkanilmu yang dipelajari dan berkongsi pengetahuan tersebut dalam komuniti masing-masing.
“Ketika Malaysia bergerak ke arah sebuah masyarakat menua, kita perlu membantu rakyat membina daya tahan kewangan jauh sebelum mereka berdepan cabaran kewangan. Literasi kewangan bukan sekadar memahami wang. Ia juga tentang membina keyakinan dan keupayaan untuk membuat pilihan yang membawa kepada jaminan kewangan yang lebih kukuh, kebebasan dan ketenangan fikiran,” tambah Mak.
FWD percaya bahawa syarikat insurans dan pengendali takaful mempunyai peranan yang lebih besar daripada sekadar menyediakan perlindungan. Melalui pelaburan dalam pendidikan, pemerkasaan komuniti dan usaha membina keyakinan kewangan, organisasi boleh menyumbang kepada kesejahteraan kewangan jangka panjang yang lebih kukuh untuk generasi rakyat Malaysia pada masa hadapan.-UTUSAN











