BANTING: Jabatan Kerja Raya (JKR) mempergiat kerja pembersihan dan penyelenggaraan sistem perparitan di sepanjang Jalan Persekutuan di seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja pembersihan itu memberi tumpuan kepada kawasan berisiko banjir bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik dan aliran air hujan tidak terhalang.
Beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara sejak 10 November lalu, dengan Kuala Langat menjadi lokasi terakhir pelancaran di peringkat kebangsaan hari ini.
“Menjelang musim tengkujuh, sudah tentunya terdapat kawasan yang mudah dilanda banjir, termasuk di kawasan ini.
“Jadi, menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), kita membersihkan longkang di sepanjang Jalan Persekutuan supaya aliran air lebih lancar ketika hujan dan tidak bertakung sehingga menyebabkan banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Perdana Pembersihan Sistem Perparitan Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia Sempena Monsun Timur Laut di Pejabat Pertanian Daerah Kuala Langat, di sini hari ini.
Mengulas kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Nanta berkata, kerja pembersihan dilaksanakan mengikut bidang kuasa JKR, khususnya melibatkan sistem perparitan di sepanjang Jalan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, kerjasama dengan agensi dan pihak berkaitan akan terus diperkukuh sekiranya diperlukan memandangkan sistem saliran di sesuatu kawasan saling berhubung antara satu sama lain.
“Kita akan terus bekerjasama dengan pihak lain sekiranya diperlukan kerana aliran air melibatkan kawasan yang saling berkaitan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JKR turut memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana menerusi pengoperasian Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) yang beroperasi sepanjang tahun.
Katanya, bilik gerakan itu akan diaktifkan mengikut keperluan, khususnya ketika musim monsun bagi memastikan maklumat kejadian di lapangan dapat disalurkan kepada agensi berkaitan dengan pantas.
“Bilik gerakan itu turut dinaik taraf tahun lalu bagi meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat serta penyelarasan tindakan ketika berlaku bencana,” katanya. – UTUSAN











