PETALING JAYA: Malaysia kekal dengan pendirian untuk meneruskan dasar berkecuali berlandaskan kepercayaan bahawa setiap negara berhak menentukan hala tujunya sendiri dan berperanan membentuk susunan antarabangsa tanpa mengira saiz mahu pun kekuatan ekonominya.
Pendirian itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026 di Shenzen, China hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tiga dekat lalu, umum mempercayai bahawa integrasi ekonomi melibatkan perdagangan dan pelaburan yang mendalam akan membawa kemakmuran bersama selain mewujudkan susunan antarabangsa lebih stabil.
Bagaimanapun, katanya, kepercayaan itu kini diuji susulan perubahan besar dalam hubungan antara ekonomi dan geopolitik apabila perdagangan, teknologi, kewangan, sumber tenaga dan mineral kritikal kini menjadi alat sesuatu dasar dan persaingan strategik serta dieksploitasi sebagai alat mengumpul pengaruh selain melakukan pemerasan.
Tambahnya, bagi rantau Asia-Pasifik, kepentingannya amat besar kerana transformasi luar biasa yang dicapai sejak beberapa dekad lalu membuktikan banyak perkara mampu dicapai oleh negara-negara melalui kerjasama, meskipun terdapat perbezaan ketara dari segi sistem politik, tahap pembangunan dan kepentingan strategik.
“Hubungan yang menyokong susunan serantau kita dibina menerusi generasi diplomasi, sikap saling bertolak ansur dan pengiktirafan bahawa masa depan kita saling berkait rapat.
“Kita tidak boleh sesekali menganggap pencapaian ini sebagai sesuatu yang boleh dipandang ringan, apatah lagi membiarkan masa depan rantau ini ditentukan oleh persaingan lingkungan pengaruh, blok ekonomi eksklusif atau persaingan kuasa-kuasa besar.
“Menjadi tanggungjawab kita kepada rakyat dan generasi akan datang untuk mempertahankan segala pencapaian yang telah diraih serta memastikan harapan terhadap keamanan dan kemakmuran tidak menjadi tebusan kepada cita-cita pihak yang berkuasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan bertajuk Membina Keterbukaan Saksama di Asia-Pasifik.
Perdana Menteri berkata, platform APEC sebagai wadah pencetusan idea, mempunyai sumbangan penting dalam merealisasikan visi keterbukaan ini kerana kekuatannya terletak pada keupayaannya menghimpunkan negara dengan saiz ekonomi berbeza, keupayaan dan tradisi politik, selain menggalakkan kerjasama praktikal menerusi dialog, fleksibiliti serta sikap saling menghormati.
Katanya, pada ketika hubungan ekonomi semakin ditentukan oleh persaingan dan pengecualian, keupayaan untuk mencari matlamat bersama menjadi semakin penting.
“Visi Putrajaya 2040 yang diterima pakai ketika Malaysia menjadi tuan rumah APEC mencerminkan aspirasi kita untuk membina komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman.
“Namun, kredibiliti visi itu akhirnya akan dinilai berdasarkan kesediaan kita menterjemahkan aspirasi tersebut kepada hasil yang nyata,” katanya.
Beliau berkata, paling penting, beliau menegaskan bahawa Asia-Pasifik mesti mempertahankan ruang kerjasama merentasi jurang geopolitik kerana ia terbukti bahawa negara boleh memperjuangkan kepentingan masing-masing sambil menyumbang kepada usaha serantau yang lebih besar.
“Kita perlu mempunyai keyakinan dan keazaman untuk mengekalkan tradisi itu, khususnya ketika tekanan untuk berundur ke dalam blok-blok yang bersaing semakin ketara.
“Bagi Malaysia, keyakinan ini dizahirkan menerusi dasar berkecuali secara aktif. Ia merupakan keputusan berdaulat yang dibuat secara sengaja, berlandaskan kepercayaan bahawa setiap negara, tanpa mengira saiz atau kekuatan ekonominya, berhak menentukan hala tuju sendiri dan turut memainkan peranan dalam membentuk susunan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN











