PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita negara, Noor Ainaa Amani Ampandi mencipta kejutan ke atas pemain No. 22 dunia, Kenzy Ayman pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Skuasy Terbuka China di Shanghai, China, semalam.
Ainaa yang menghuni ranking ranking ke-58 dunia bangkit daripada kekalahan dua set pertama sebelum membenam pilihan ke-9/16 dari Mesir 8-11, 10-12, 11-8, 12-10, 11-1 dalam masa 41 minit.
Pada peringkat 16 terbaik, hari ini, anak jati Kuala Lumpur itu bakal berdepan laluan yang lebih getir apabila dijadual menentang bintang No. 7 dunia, Satomi Watanabe dari Jepun.
Perlawanan itu bakal menjadi pertembungan pertama kedua-dua pemain dalam Jelajah Dunia Skuasy PSA.
Turut mara ke pusingan kedua, seorang lagi wakil Malaysia, Aifa Azman yang mencatat kemenangan straight set ke atas Alina Bushma dari Ukraine 11-9-, 11-7, 11-9 dalam masa 39 minit.
Pemain No. 14 dunia, Salma Hany dari Mesir menanti Aifa yang merupakan pemain ke-20 dunia pada peringkat seterusnya.
Seperti mana Ainaa dan Watanabe, Aifa juga belum pernah berdepan Salma dalam sebarang kejohanan antarabangsa.
Sementara itu, dalam saingan perseorangan lelaki, Sanjay Jeeva ditunjukkan jalan keluar oleh Matias Knudsen dari Colombia seawal pusingan pertama selepas tunduk 8-11, 11-6, 9-11, 7-11 dalam 61 minit.
Kekalahan tersebut menyaksian Sanjay yang berada di tangga ke-62 dunia, tumpas buat kali kedua berturut-turut kepada Knudsen yang menghuni ranking No. 41 dunia. – UTUSAN











