970 pemain sertai Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur

970 pemain sertai Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur

Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur REDtone merupakan pertandingan remaja terbesar di Asia dan kedua terbesar di dunia akan diadakan pada 1-6 Disember ini di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 970 pemain dari 22 negara bakal menghangatkan Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur REDtone edisi ke-18 yang berlangsung dari 1 hingga 6 Disember ini.

Kejohanan berstatus Platinum itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai kejohanan skuasy remaja terbesar di Asia dan kedua terbesar di dunia selepas Terbuka Remaja Amerika Syarikat.

Daripada keseluruhan penyertaan, seramai 677 pemain mewakili Malaysia, manakala 293 lagi merupakan peserta antarabangsa, sekali gus membuktikan kejohanan berkenaan terus mendapat sambutan meluas dalam kalangan pemain muda dari seluruh dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Singapura menghantar kontinjen terbesar dari luar negara dengan 67 pemain, diikuti Hong Kong (51), Korea Selatan (27), Sri Lanka (20), China (18), Rusia (17), Afrika Selatan (15), Australia (12), Jepun (12), Iran (10), India (8), Indonesia (7) dan Amerika Syarikat (6).

Pakistan pula menghantar lima pemain, sementara Bahrain, Switzerland, New Zealand dan Thailand masing-masing empat wakil, manakala Bangladesh, Kanada, Mesir dan Macau diwakili seorang pemain.

Dalam kalangan peserta tempatan, Selangor muncul penyumbang terbesar dengan 176 pemain, diikuti Negeri Sembilan (87), Kuala Lumpur (69), Sarawak (46), Pulau Pinang (42), Melaka (40), Perak (34), Kedah (31), Johor (30), Kelantan (30), Putrajaya (29), Pahang (19), Terengganu (15), Perlis (15) dan Sabah (14).

Kejohanan yang mengekalkan status Platinum buat tahun kelapan sejak 2017 itu akan berlangsung di tiga lokasi iaitu Pusat Skuasy Majlis Sukan Negara (MSN) di Jalan Duta, Kuala Lumpur; Gelanggang Skuasy Universiti Malaya dan Gelanggang Skuasy Astaka dekat sini.

Sebanyak enam kategori umur dipertandingkan bagi bahagian lelaki dan perempuan iaitu bawah sembilan, 11, 13, 15, 17 dan 19 tahun.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Steven Kwan berkata, perkembangan dan pengiktirafan antarabangsa yang diterima kejohanan itu membuktikan komitmen persatuan serta rakan strategik dalam membangunkan sukan skuasy.

“Kejohanan ini bukan sahaja menyediakan platform kepada pemain muda menguji kemampuan menentang pencabar antarabangsa, malah memberi pengalaman berharga untuk meningkatkan potensi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone, Lau Bik Soon berkata, penglibatan berterusan syarikat itu dalam kejohanan berkenaan mencerminkan komitmen mereka untuk menyokong pembangunan bakat muda dan kecemerlangan sukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini