Pakar forensik dakwa Epstein dibunuh ketika dalam tahanan

Pakar forensik dakwa Epstein dijerut ketika dalam tahanan

JEFFREY EPSTEIN - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pakar forensik pada Isnin mengemukakan hasil penilaian yang menurutnya menunjukkan pesalah seks, Jeffrey Epstein berkemungkinan dibunuh ketika dalam tahanan.

Lapor CNN, ia sekali gus bercanggah dengan keputusan Pejabat Ketua Pemeriksa Perubatan New York bahawa tokoh kewangan yang tercemar reputasinya itu meninggal dunia akibat bunuh diri.

Mayat Epstein ditemukan tergantung di dalam selnya di Pusat Tahanan Metropolitan New York pada 10 Ogos 2019. Ketika itu, dia berada di bawah pemantauan bagi mencegah kejadian bunuh diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kenyataan kepada CNN, Pejabat Ketua Pemeriksa Perubatan New York berkata, pihaknya kekal dengan keputusan Epstein meninggal dunia akibat bunuh diri dengan cara menggantung diri.

Bagaimanapun, penulis pembentangan yang dibentangkan di London, iaitu Sarjana dan Perunding Epidemiologi Perubatan Forensik, Michael Freeman; Pakar Patologi Forensik dan Profesor Perubatan Forensik Universiti Umea Sweden, Anders Eriksson serta ahli neurosains kognitif dan penyelidik, Itiel Dror berkata, tiada bukti Epstein meninggal dunia akibat menggantung diri.

Pembentangan itu turut menyatakan tiada kesan lebam atau kecederaan lain yang tidak berkaitan dengan perbuatan menggantung diri pada mana-mana bahagian tubuh Epstein, yang disifatkan berada dalam keadaan hampir sempurna.

Selepas meneliti keseluruhan fail bedah siasat dan melengkapkan proses pembinaan semula kejadian, ketiga-tiga penulis mendakwa kecederaan Epstein konsisten dengan serangan dan pergelutan, sekali gus menunjukkan dia dibunuh.

“Tanda jerutan paling konsisten dengan kejadian cekik menggunakan tali yang dilakukan dari belakang, berkemungkinan besar dengan kain sempit yang diikat bersimpul,” menurut pembentangan itu.

Selepas keputusan awal dikeluarkan kira-kira seminggu selepas kematian pesalah seks yang disabitkan itu, peguam Epstein berkata, mereka tidak berpuas hati dengan kesimpulan berkenaan dan menggesa pemeriksaan lebih teliti terhadap keadaan di pusat tahanan tersebut.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Pejabat Ketua Pemeriksa Jabatan Kehakiman turut menjalankan siasatan berhubung keadaan kematian Epstein, yang dituduh terbabit dalam pemerdagangan seks.

Penemuan yang diumumkan itu mencerminkan keraguan orang ramai terhadap keputusan kematian Epstein adalah akibat bunuh diri.

Penulis pembentangan itu mendakwa keraguan berkenaan meluas di seluruh Amerika Syarikat (AS) dan mencetuskan pelbagai teori konspirasi mengenai punca kematiannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini