WASHINGTON: Isteri Presiden Amerika Syarikat (AS), Melania Trump secara terbuka menafikan sebarang kaitan dengan mendiang Jeffrey Epstein mahupun mempunyai pengetahuan mengenai salah laku seksual yang dilakukannya dalam satu ucapan luar biasa dari Rumah Putih, Washingrton DC.
Beliau mengecam penipuan tidak berasas dan fitnah palsu terhadap dirinya oleh pelbagai pihak yang cuba mencari keuntungan kewangan dan kepentingan politik. Isteri Donald Trump itu menyatakan kenyataan-kenyataan sedemikian mesti dihentikan.
“Saya tidak pernah mempunyai hubungan dengan Epstein atau rakan subahatnya, Maxwell. Saya tidak pernah berkawan dengan Epstein. Donald (Trump) dan saya pernah dijemput ke majlis yang sama dengan Epstein dari semasa ke semasa, memandangkan pertembungan dalam kalangan (komuniti) sosial adalah perkara biasa di New York dan Palm Beach,” katanya.
Setakat ini, masih belum jelas apakah yang mendorong isteri Donald Trump tersebut untuk menyampaikan ucapan yang jarang dilakukan itu.
Bagaimanapun, kenyataan awam selama lima minit pada Khamis itu menyusul di tengah-tengah penelitian parti Repulikan dan Demokrat yang semakin meningkat terhadap pesalah seks terkenal itu serta hubungannya dengan tokoh-tokoh berpengaruh, termasuk Trump.
Kenyataan Melania juga dibuat susulan pendedahan berjuta-juta dokumen hasil siasatan persekutuan terhadap Epstein dan rakan wanitanya, Ghislaine Maxwell yang kini sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan pemerdagangan manusia.
Pada masa yang sama, Jabatan Kehakiman dan pegawai pentadbiran Trump turut berdepan siasatan daripada ahli-ahli Kongres berhubung cara kerajaan mengendalikan siasatan kes berkenaan.
Berdasarkan undang-undang yang diluluskan oleh Kongres AS dan ditandatangani oleh Trump pada November tahun lalu, Jabatan Kehakiman diarahkan untuk mendedahkan semua fail berkaitan siasatan Epstein kepada umum menjelang 19 Disember.
Sejak itu, jabatan tersebut telah menyiarkan berjuta-juta dokumen dan imej berkaitan pemangsa itu, walaupun gagal menepati tarikh akhir untuk pendedahan penuh semua bahan dalam simpanan penguatkuasaan undang-undang persekutuan walaupun menjadi liabiliti politik kepada presiden dan sekutunya.
Epstein telah disabitkan kesalahan pada 2008 kerana memujuk dan mendapatkan khidmat seksual daripada gadis bawah umur seawal 14 tahun, namun beliau meninggal dunia di sebuah sel penjara di New York pada 2019 sebelum sempat dibicarakan atas pertuduhan pemerdagangan seks. – AGENSI/AFP










