PETALING JAYA: Kuala Lumpur (KL) City FC difahamkan sudah menyelesaikan tuntutan bayaran yang dibuat bekas penyerang Filipina, Patrick Reichelt.
Situasi itu menyaksikan skuad Warga Kota kini menunggu lampu hijau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk dilepaskan daripada sekatan perpindahan pemain.
Menurut sumber, bayaran sebanyak RM10, 470 itu telah dilunaskan pada Sabtu lalu dan KL City kini tidak berdepan lain-lain tuntutan daripada FIFA.
“Kuala Lumpur City telah melunaskan tuntutan bayaran daripada Reichelt berjumlah RM10,470 pada Sabtu lalu. KL City kini hanya menanti pelepasan daripada FIFA,” katanya.
Situasi itu memberi kelegaan kepada KL City terutama menjelang tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang akan dibuka pada Januari 2027.
KL City dijangka membawa masuk pemain baharu pada perpindahan kedua nanti bagi membantu pasukan bersaing dalam kancah Liga Malaysia.
Ketika ini, skuad kendalian Datuk Dollah Salleh itu berada di kedudukan ketujuh Liga Super dengan enam mata selepas enam perlawanan hasil dua kemenangan dan empat kekalahan. – UTUSAN










