Pemandu SUV hampir rempuh dua murid didenda RM300 - Utusan Malaysia

Pemandu SUV hampir rempuh dua murid didenda RM300

TANGKAP layar sebuah SUV jenis Nissan X-Trail dipercayai melanggar lampu isyarat merah ketika dua murid sedang melintasi jalan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang melanggar lampu isyarat merah sehingga hampir merempuh dua murid sekolah di Jalan Presint 14, di sini, Jumaat lalu, dikenakan saman RM300.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pemandu terbabit berjaya dikesan sebelum dipanggil ke balai polis untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, tindakan saman dikeluarkan terhadap pemandu itu atas kesalahan gagal mematuhi isyarat lampu merah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemandu kereta telah dikesan dan dipanggil ke balai polis sebelum saman dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, kejadian itu tular menerusi video yang dikongsi oleh pengguna Threads, anyss_s85, memaparkan sebuah SUV jenis Nissan X-Trail dipercayai melanggar lampu isyarat merah ketika dua murid sedang melintasi jalan.

Ketika kejadian, seorang murid dilihat membantu menolak rakannya yang berkerusi roda untuk melintasi lintasan pejalan kaki di Jalan Presint 14, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14(1).

Dalam pada itu, Aidi Sham mengingatkan pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan dan meningkatkan kewaspadaan, khususnya ketika melalui kawasan sekolah serta lintasan pejalan kaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini