RAUB: Sepasang suami isteri maut, manakala dua orang anaknya cedera dalam kemalangan di KM350 Jalan Kuala Lumpur – Kota Bharu, di Lampu Isyarat Batu 3, Jalan Lipis dekat sini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superitendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu kereta Proton Wira bersama isteri dan dua orang anak dari arah susur keluar Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR) Raub menghala balik ke Dong pada pukul 10.20 malam tadi
“Setiba di tempat kejadian, ketika kereta itu meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba datang kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Lipis menghala ke Raub lalu melanggar sisi kanan kereta tersebut.
“Akibat kemalangan ini, pasangan suami isteri maut di tempat kejadian, manakala dua orang anak pasangan itu cedera termasuk pemandu pacuan empat roda itu mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Raub untuk rawatan lanjut,” katanya di Ibu pejabat Polis Daerah di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu pacuan empat roda itu yang melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN










