KUALA LUMPUR: Dua graduan Universiti Malaya (UM) mempunyai cabaran dan pengorbanan tersendiri sepanjang menempuh pengajian, namun kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila masing-masing berjaya meraih Anugerah Pelajaran Diraja.
Walaupun melalui pengalaman berbeza, kedua-duanya membuktikan bahawa kecemerlangan akademik turut menuntut ketabahan, disiplin dan keupayaan menghadapi cabaran sepanjang perjalanan menuntut ilmu.
Graduan Fakulti Perubatan dalam bidang Sains Bioperubatan, Nur Qhalisa Nor Izwan, 23, berkata, kejayaan itu hadir di luar jangkaannya memandangkan dia menyedari ramai calon lain turut mempunyai pencapaian dan penglibatan yang membanggakan.
“Saya terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti sepanjang pengajian memerlukan pengurusan masa yang baik bagi memastikan tanggungjawab akademik dan tugasan lain dapat dilaksanakan.
“Saya juga memang suka memenuhi jadual dengan pelbagai aktiviti di samping pengajian, jadi apa yang boleh diselesaikan pada hari itu, saya akan selesaikannya.
“Namun, kita perlu tahu bila masanya untuk meminta bantuan kerana dalam melaksanakan sesuatu projek, kita bukan bekerja seorang diri,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen di Universiti Malaya di sini hari ini.
Beliau juga memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Pelajar Sains Bioperubatan UM serta pengarah Simposium Sains Bioperubatan Kebangsaan ke-15 (MySymbios), selain aktif dalam pelbagai program kesukarelawanan dan kemasyarakatan.
“Saya terlibat secara langsung menjadi tutor bahasa Inggeris menerusi program Teach For Malaysia, fasilitator program STEM UM serta sukarelawan dalam program saringan kanser paru-paru bersama National Cancer Society Malaysia.
“Selepas menamatkan pengajian, saya merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di Monash University Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Graduan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Kuhaneetha Bai Kalaicelvan, 24, berkata, perjalanan menamatkan pengajian dalam bidang Pengajian Antarabangsa dan Strategik dengan pengkhususan Pengajian Asia Tenggara turut disertai tanggungjawab terhadap keluarga.
“Penerimaan Anugerah Pelajaran Diraja bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap pencapaian akademik, sebaliknya membawa amanah untuk memanfaatkan ilmu yang diperoleh.
“Saya amat bersyukur menerima anugerah ini, tetapi pada masa sama merasakan satu amanah kerana bukan semua orang berpeluang mendapat pengiktirafan seperti ini.
“Ilmu yang saya pelajari dan dalami di UM perlu digunakan untuk kebaikan bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga keluarga, komuniti dan negara,” katanya.
Dia berkata, kehilangan bapanya ketika berusia 12 tahun dan sejak itu ibunya membesarkan dia bersama seorang adik perempuan dengan bekerja dalam pelbagai bidang bagi menyara keluarga.
“Keadaan itu turut mendorong saya bekerja sepanjang tempoh pengajian bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga, selain berulang-alik dari Klang ke UM pada tahun ketiga selepas tidak memperoleh tempat tinggal berhampiran universiti.
“Bagaimanapun, cabaran tersebut tidak menghalang saya memperoleh PNGK 3.97 serta menerima Anugerah Dekan selama enam semester berturut-turut,” katanya.
Beliau menghasilkan penyelidikan berkaitan astropolitik dan tadbir urus yang meraih pingat perak pada UM Undergraduate Innovation Festival (UM UG iFest) 2025, selain menyertai beberapa program berkaitan diplomasi belia dan hak kanak-kanak.
Katanya, walaupun dia terlebih dahulu mengetahui kewujudan Anugerah Pelajaran Diraja sejak tahun pertama pengajian, dia tidak menjadikan pengiktirafan itu sebagai matlamat utama, sebaliknya hanya mengemukakan permohonan apabila peluang dibuka pada tahun akhir pengajian. – UTUSAN











