KEPUTUSAN pilihan raya Israel pada 27 Oktober lalu membuka kemungkinan berakhirnya tempoh panjang pemerintahan Benjamin Netanyahu.
Bagi pemerhati konflik Asia Barat, perubahan ini mudah ditafsirkan sebagai petanda baharu untuk Palestin. Namun, terdapat persoalan yang lebih mendasar, adakah kejatuhan seorang pemimpin bermakna berakhirnya penjajahan yang telah berlangsung selama puluhan tahun?
Hakikatnya, Netanyahu bukanlah pencipta tunggal sistem pendudukan Israel. Beliau merupakan antara pemimpin yang meneruskan dan memperkukuh dasar tertentu dalam sistem politik, keselamatan dan pentadbiran yang telah lama terbentuk. Menjadikan dirinya satu-satunya punca persoalan Palestin berisiko mengaburkan akar sebenar konflik.
Sejarah ini bermula lebih awal daripada zaman Netanyahu. Peristiwa Nakba pada 1948 menyaksikan ratusan ribu warga Palestin kehilangan rumah dan menjadi pelarian.
Penaklukan pada 1967 pula menambah dimensi pendudukan ketenteraan ke atas wilayah Palestin yang diiktiraf dalam kerangka diplomasi antarabangsa.
Maka, persoalan Palestin merangkumi tiga lapisan yang saling berkait iaitu pelarian dan hak mereka, penguasaan wilayah serta kedaulatan politik.
Menukar perdana menteri boleh mengubah strategi pentadbiran tetapi tidak dengan sendirinya menyelesaikan ketiga-tiga isu tersebut.
Selepas pilihan raya Oktober, Netanyahu kehilangan majoriti Parlimen. Pada 8 November, Presiden Israel, Isaac Herzog memberikan mandat kepada Gadi Eisenkot untuk membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, setakat 11 November, Netanyahu masih menjadi perdana menteri sementara, manakala pembentukan gabungan baharu belum dimuktamadkan. Justeru, istilah ‘Netanyahu jatuh’ lebih tepat dibaca sebagai kemerosotan kedudukan politiknya, bukan pertukaran kerajaan yang telah selesai.
Lebih menarik, pertukaran pemimpin tidak semestinya menghasilkan perubahan asas terhadap hak rakyat Palestin.
Laporan Reuters pada 22 Oktober mendapati Netanyahu dan Eisenkot sama-sama menolak pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka, meskipun terdapat perbezaan pendekatan mereka terhadap penempatan Israel di Tebing Barat. Perbezaan dasar itu penting tetapi tidak sewajarnya disalah anggap sebagai jaminan berakhirnya pendudukan.
Untuk memahami sebabnya, kita perlu melihat struktur penguasaan wilayah. Selepas perang 1967, Israel menjajah Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, serta Gaza.
Sepanjang dekad berikutnya, penempatan Israel, jalan khas, sekatan pergerakan dan kawalan ke atas tanah telah membentuk realiti politik dan ekonomi yang tidak boleh dipadam sekadar melalui pertukaran Kabinet.
Laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) menjelaskan Kawasan C meliputi kira-kira 60 peratus Tebing Barat dan berada di bawah kawalan pentadbiran serta keselamatan Israel.
Kajian tersebut menganggarkan sekatan terhadap kegiatan ekonomi Palestin di sebahagian kawasan itu menyebabkan kerugian terkumpul sekitar AS$50 bilion (RM204.31 bilion) antara 2000 hingga 2020. Ini bukan sekadar pertikaian sempadan tetapi persoalan keupayaan sebuah masyarakat mengusahakan tanah dan membangunkan ekonominya.
Keadaan di lapangan turut menunjukkan pendudukan mempunyai kesan harian. Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) merekodkan lebih 2,060 serangan peneroka Israel yang mengakibatkan kecederaan atau kerosakan harta di Tebing Barat sejak awal 2026 sehingga pertengahan Oktober.
Bagi keluarga Palestin, isu politik di Parlimen Israel boleh terasa jauh berbanding kebimbangan sama ada kebun zaitun, rumah atau jalan menuju sekolah masih boleh digunakan.
Di Gaza pula, persoalan kebebasan bukan sekadar sama ada serangan berkurangan. Laporan OCHA pada Oktober menyatakan kira-kira 950,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal berada di lokasi berisiko banjir sederhana hingga tinggi.
Sekatan bekalan, kerosakan infrastruktur dan masalah akses kemanusiaan terus menyukarkan kehidupan. Gencatan senjata, andai berkekalan tetap tidak sama dengan pemulihan hak, kebebasan bergerak dan pembinaan semula yang mampan.
Asas perundangannya juga jelas. Dalam pendapat nasihat bertarikh 19 Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyatakan kehadiran berterusan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.
Mahkamah turut menyatakan Israel kewajiban menamatkannya secepat mungkin. Walaupun pendapat nasihat bukan penghakiman yang mengikat seperti keputusan kes pertikaian antara negara, namun kesimpulannya mempunyai autoriti undang-undang yang besar dan menjadi asas tindakan susulan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada September 2024, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi yang menuntut penamatan penguasaan Israel yang menyalahi undang-undang di wilayah Palestin dalam tempoh 12 bulan. Resolusi itu tidak secara automatik menghapuskan pendudukan tetapi menunjukkan jurang antara pengiktirafan prinsip undang-undang dengan pelaksanaannya.
Jurang inilah yang menjadikan nasib rakyat Palestin terlalu mudah bergantung pada rundingan politik, tekanan antarabangsa dan keseimbangan kuasa.
APAKAH MAKNANYA BAGI MALAYSIA?
Pendekatan diplomatik negara selama ini menyokong hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin dan pembentukan negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Pendirian itu berkaitan prinsip lebih luas dengan kedaulatan, larangan memperoleh wilayah melalui kekerasan serta kepentingan undang-undang antarabangsa kepada negara yang tidak mahu nasibnya ditentukan oleh kekuatan ketenteraan semata-mata.
Rakyat Malaysia juga perlu membezakan antara perubahan wajah kepimpinan dan perubahan dasar yang boleh diukur. Hakikatnya, perubahan sebenar mesti dilihat melalui kehidupan rakyat biasa, bukannya pengumuman politik yang sementara.
Ukuran kemajuan bukan hanya siapa menduduki pejabat perdana menteri tetapi sama ada pembinaan penempatan dihentikan, sekatan terhadap penduduk dilonggarkan, bantuan dapat masuk secara konsisten dan rakyat Palestin mempunyai ruang menentukan masa depan politik serta ekonominya. –UTUSAN
PENULIS ialah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam), Cinta Gaza Malaysia.










