WASHINGTON: Pentagon didakwa mengabaikan amaran mengenai ancaman serangan Iran terhadap sebuah pos pemerintahan tentera Amerika Syarikat (AS) di Kuwait sehingga mengakibatkan enam anggota tentera negara itu terbunuh dalam Operasi Epic Fury.
Dakwaan itu dibuat seorang pegawai tentera yang terselamat dalam serangan dron Iran berkenaan menerusi aduan pemberi maklumat yang dikemukakan kepada Kongres AS.
Mejar Tentera Darat, Stephen Ramsbottom menghantar aduan itu kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Angkatan Tentera Dewan Perwakilan dan Senat.
Dalam temu bual bersama CBS News, beliau menyifatkan kejadian itu sebagai kegagalan taktikal yang melibatkan pihak tentera, kepimpinan dan dirinya sendiri.
Ramsbottom mendakwa kepimpinan Tentera Darat tidak mengambil serius amaran mengenai kelemahan struktur perlindungan di pos tentera AS di Kuwait, sehingga menyebabkan enam anggota tentera terkorban. Beliau sendiri turut mengalami kecederaan dalam serangan itu.
Menurutnya, pos tentera di kawasan Pelabuhan Shuaiba tidak mempunyai doktor, stesen rawatan kecemasan tetap dan hanya dilengkapi sebuah ambulans.
“Kami tidak merancang perkara ini dengan baik dan kejadian ini perlu menjadi pengajaran kepada kita,” katanya.
Serangan pada 1 Mac itu mengorbankan Kapten Simpanan Tentera Darat, Cody Khork, 35; Sarjan Kelas Pertama, Noah Tietjens, 42; Sarjan Kelas Pertama, Nicole Amor, 39; Sarjan, Declan Coady, 20; Mejar, Jeffrey O’Brien, 45; serta Pegawai Waran Kanan Tiga, Robert Marzan, 54.
Ramsbottom yang bertugas sebagai Timbalan Ketua operasi bagi Komando Sokongan ke-103 Simpanan Tentera Darat berkata, pos berkenaan hanya dilengkapi kemudahan perlindungan untuk menghadapi ancaman seperti bom kereta.
“Tiada apa-apa di situ yang direka untuk melindungi kami daripada serangan udara,” katanya.
Ramsbottom turut mendakwa beliau pernah membangkitkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan pos berkenaan kepada pegawai yang bertanggungjawab dalam bidang logistik bagi Komando Pusat AS (CENTCOM), Mejar Jeneral John Hinson.
“Saya membangkitkannya sebanyak dua kali dalam beberapa mesyuarat dengan menyatakan bahawa saya tidak nampak bagaimana kami dilindungi di sini,” katanya.
Bagaimanapun, Hinson didakwa menjawab bahawa mereka tidak perlu bimbang mengenai aspek perlindungan.
Ramsbottom turut mendakwa pihaknya pernah memohon sistem pertahanan antipenggunaan dron bagi melindungi kawasan Pelabuhan Shuaiba, yang menurut Pentagon akan cuba disediakan. Namun, sistem berkenaan tidak pernah tiba di pos itu.
“Ia tidak pernah sampai ke Shuaiba dan kami tidak tahu sama ada sistem itu pernah dipesan atau dimohon,” katanya.
Sehari selepas serangan pada Mac lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mendakwa pos berkenaan mempunyai perlindungan sewajarnya.
Beliau berkata, ada kalanya sebuah dron berjaya melepasi sistem pertahanan sebelum mengenai sasaran, sambil menyifatkan senjata berkenaan sebagai sangat berkuasa.
Dalam aduan kepada Kongres pada Jumaat lalu, Ramsbottom bagaimanapun mendakwa pos itu tidak mempunyai sistem perlindungan khusus daripada serangan dron sehala.
Pada 15 November, Senator Demokrat dari Connecticut yang juga anggota kanan Jawatankuasa Kecil Tetap Penyiasatan Senat, Richard Blumenthal, menuntut beberapa penjelasan daripada Hegseth selepas meneliti surat aduan berkenaan.
“Keluarga enam anggota tentera yang terkorban, mangsa yang terselamat tetapi cedera serta rakyat Amerika berhak mendapat ketelusan dan pihak yang bertanggungjawab perlu di bawa ke muka pengadilan,” katanya dalam surat berkenaan.
Beliau turut meminta Hegseth menghadiri taklimat tertutup bagi menyenaraikan semua langkah perlindungan yang disediakan di Port Shuaiba.
Pentagon setakat ini belum memberikan maklum balas terhadap aduan Ramsbottom.-AGENSI











