Emmanuel Macron diberi sambutan negara di Dataran Merdeka - Utusan Malaysia

Emmanuel Macron diberi sambutan negara di Dataran Merdeka

ANWAR Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan isteri, Brigitte Macron pada sambutan negara di Dataran Merdeka, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam diberi sambutan negara di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Ketibaan Macron bersama isterinya, Brigitte Macron pada 9.30 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Memuatkan artikel berkaitan…

Istiadat sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Perancis dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diketuai Kapten Muhamad Fauzee Japar.

Macron kemudian memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama RAMD diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.

Menariknya, sambutan negara kali ini berlangsung di lokasi bersejarah Dataran Merdeka, yang sinonim dengan perjuangan kemerdekaan negara dan menjadi antara mercu tanda utama ibu negara, berbeza daripada beberapa istiadat sambutan rasmi pemimpin asing sebelum ini yang diadakan di Putrajaya atau Istana Negara.

Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017.

Kunjungan itu dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Perancis apabila kedua-dua negara berhasrat meningkatkan hubungan sedia terjalin kepada perkongsian strategik.

Antara bidang kerjasama yang diberi tumpuan ialah pertahanan dan keselamatan, mineral kritikal, peralihan tenaga, aeronautik dan angkasa lepas, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber serta semikonduktor.

Lawatan itu juga menyusuli momentum lawatan rasmi Anwar ke Perancis pada Julai 2025, iaitu yang pertama oleh seorang ketua kerajaan Malaysia ke negara itu dalam tempoh 15 tahun.

Perancis merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU), dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah €4.7 bilion (kira-kira RM21.23 bilion) pada 2025, meningkat 11 peratus berbanding 2024. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini