Banjir musnahkan khemah pelarian Gaza

Banjir musnahkan khemah pelarian Gaza

Musim sejuk Gaza
PENDUDUK Gaza membetulkan khemah tempat tinggal sementara mereka selepas berdepan ribut musim sejuk di Semenanjung Gaza pada minggu lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 350,000 rakyat Palestin di Gaza terpaksa meninggalkan khemah perlindungan selepas musnah sepenuhnya akibat cuaca ekstrem yang melanda wilayah tersebut sejak bermulanya musim sejuk.

Mereka terpaksa berkongsi khemah perlindungan dengan saudara-maranya di seluruh Gaza yang kini mempunyai kira-kira 2,100 kem pelarian bagi menempatkan sekitar 1.5 juta orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, musim sejuk menjadi cabaran besar kepada penduduk Gaza kerana mereka kini kekurangan segala-galanya yang diperlukan khususnya tempat berlindung, pakaian hangat, bekalan makanan dan minuman, selimut serta keperluan asas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sekatan dikenakan terhadap mereka oleh rejim Zionis menambahkan lagi penderitaan penduduk di Gaza kerana Israel menghalang kemasukan bahan-bahan keperluan asas untuk pembinaan penempatan ke wilayah tersebut.

“Hujan lebat melanda secara berfasa. Ia berlarutan selama berhari-hari dan kemudian berhenti seketika. Malangnya, apabila hujan berhenti, mereka yang kehilangan tempat tinggal cuba membina semula kehidupan selepas kemusnahan namun segala-galanya musnah akibat ditenggelami air.

“Apa yang ada sekarang bukanlah tempat perlindungan, tetapi hanyalah kain buruk dan kepingan plastik yang tidak berguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, hujan lebat sejak awal musim sejuk baru-baru mengakibatkan beberapa kejadian tanah runtuh yang menimbus khemah-khemah pelarian seperti yang berlaku di Khan Younis, Deir Al Balah, dan Bandar Gaza sehinggakan terdapat laporan kes kematian serta kecederaan parah kepada mangsa.

“Orang ramai terpaksa meninggalkan kem tersebut, tetapi tiada alternatif yang sesuai kerana tanah Gaza sangat terhad. Tambahan pula, pembunuhan harian masih berterusan oleh dron Israel. Ini merupakan krisis besar yang terus meragut nyawa rakyat Palestin di Gaza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini