Yayasan Ikhlas siapkan 8,000 sukarelawan hadapi banjir

Yayasan Ikhlas siapkan 8,000 sukarelawan hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Ikhlas menggerakkan seramai 7,997 sukarelawan bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Timbalan Pengurus Besarnya, Syafiq Syahmi berkata, persediaan itu turut melibatkan tiga bot operasi, kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan van bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada mangsa banjir.

Katanya, daripada keseluruhan sukarelawan tersebut, seramai 228 orang telah menerima latihan khusus berkaitan pengurusan bencana, pertolongan cemas dan tindak balas kecemasan menerusi kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila banjir berlaku, masa merupakan faktor yang sangat kritikal. Setiap minit boleh memberi kesan kepada keselamatan dan kehidupan mangsa yang terjejas.

“Justeru, kita perlu memastikan pasukan, aset dan sistem penyelarasan bantuan telah bersedia sebelum bencana berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Syafiq berkata, kerjasama dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak korporat dan komuniti setempat turut diperkukuh bagi memastikan operasi bantuan berjalan lancar.

katanya, Yayasan Ikhlas memberi tumpuan kepada tiga fasa utama pengurusan bencana iaitu sebelum, semasa dan selepas banjir.

Tambahnya, persediaan sebelum banjir melibatkan pemeriksaan aset, latihan sukarelawan serta mengenal pasti kawasan berisiko tinggi.

“Ketika banjir, keutamaan diberikan kepada bantuan kecemasan, penyediaan makanan menerusi Dapur Ikhlas, pengagihan barangan keperluan asas dan sokongan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Selepas banjir pula, usaha pemulihan diteruskan melalui aktiviti pembersihan rumah, bantuan keperluan asas dan sokongan kepada keluarga terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Yayasan Ikhlas melaksanakan 122 misi bantuan bencana sepanjang MTL 2025/2026 dengan peruntukan RM1.4 juta.

Katanya, operasi tersebut memberi manfaat kepada 93,550 mangsa bencana di lapan negeri.

Beliau turut menegaskan bahawa operasi menyelamat dan tugasan berisiko hanya akan dilaksanakan melalui penyelarasan bersama pihak berkuasa serta anggota yang mempunyai latihan dan kelayakan berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini