WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dijangka menggunakan pesawat Air Force One yang dihadiahkan Qatar bagi lawatan rasminya ke Asia bermula Isnin, meskipun kerja-kerja naik taraf keselamatan pesawat itu masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan pesawat berkenaan, khususnya selepas ancaman keselamatan dari Iran memaksanya pulang dari Turkiye menggunakan pesawat tentera rahsia pada Julai lalu.
Menurut dua pegawai AS, Trump sebelum ini berulang kali menyatakan jet mewah pemberian Qatar itu akan menjalani pengubahsuaian menyeluruh bagi memastikan keselamatannya ketika memasuki kawasan ruang udara berisiko tinggi.
Pada September lalu, Trump berkata proses pengubahsuaian pesawat itu dijangka mengambil masa kira-kira 60 hari. Bagaimanapun, beliau tetap menggunakan jet berkenaan untuk ke Ireland pada bulan sama tanpa sebarang masalah.
Beliau turut menggunakan pesawat itu secara kerap sepanjang siri jelajah kempen pilihan raya pertengahan penggal pada Oktober lalu, sekali gus menunjukkan jet berkenaan terus beroperasi tanpa tempoh rehat yang panjang untuk kerja-kerja naik taraf.
Bagaimanapun, sumber pegawai memaklumkan pesawat itu setakat ini hanya menerima beberapa penambahbaikan kecil dan penyelenggaraan berkala, tanpa kepastian sama ada sistem pertahanannya sudah dinaik taraf sepenuhnya.
Seorang pegawai AS berkata, kerja-kerja naik taraf yang lebih menyeluruh dijangka dilakukan pada masa hadapan, namun proses itu tidak akan mengambil masa sehingga 60 hari seperti diumumkan sebelum ini.
Seorang lagi pegawai pula mendedahkan pengubahsuaian yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu lebih tertumpu kepada aspek kosmetik ruang dalaman dan tidak melibatkan kerja-kerja besar seperti yang dijanjikan Rumah Putih.
Dalam kenyataan kepada NBC News, seorang pegawai kanan pentadbiran AS enggan mengulas lanjut mengenai pengubahsuaian khusus pesawat itu, namun menegaskan keupayaannya sentiasa dipertingkatkan bagi menjamin keselamatan dan kebolehpercayaan maksimum Presiden.
Pada Julai lalu, Trump berkata pesawat berkenaan mempunyai keupayaan tinggi tetapi memerlukan kira-kira sebulan untuk dinaik taraf sepenuhnya.
Bagaimanapun, anggaran tempoh itu meningkat kepada 60 hari pada September tanpa penjelasan lanjut daripada Rumah Putih.
Terdahulu, Setiausaha Akhbar Rumah Putih ketika itu, Karoline Leavitt, menegaskan pesawat Air Force One baharu berkenaan selamat digunakan bagi perjalanan domestik dan antarabangsa sementara menunggu kerja-kerja penambahbaikan tambahan diselesaikan. -AGENSI











