Air paip Bangkok selamat, bebas pencemaran arsenik sungai utara

Air paip Bangkok selamat, bebas pencemaran arsenik sungai utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pihak Berkuasa Air Metropolitan (MWA) memberi jaminan bekalan air paip di Bangkok, Nonthaburi dan Samut Prakan kekal selamat serta bebas daripada pencemaran arsenik yang dikesan di sungai Sai, Kok, Mekong dan Bang Pakong.

Agensi kerajaan itu dalam kenyataan pada Isnin meminta penduduk supaya tidak panik berhubung isu berkenaan.

Pengumuman itu dibuat susulan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan sumber air dan kualiti air paip, selain laporan mengenai pencemaran sungai yang menjejaskan kehidupan penduduk di wilayah utara dan timur laut Thailand.

Memuatkan artikel berkaitan…

MWA menjelaskan sumber air mentah yang digunakan untuk bekalan air di Bangkok tidak mempunyai hubungan dengan sungai Sai, Kok, Mekong atau Bang Pakong.

Justeru, bahan pencemar daripada sungai berkenaan tidak boleh mengalir masuk ke sumber air yang digunakan bagi menghasilkan bekalan air paip.

Menurut agensi itu, bekalan air mentah diperoleh daripada dua sumber utama.

Sumber pertama ialah Sungai Chao Phraya, dengan air disalurkan melalui stesen pengepaman air mentah Sam Lae di Pathum Thani sebelum dihantar ke loji rawatan air Bang Khen di daerah Lak Si, Bangkok.

Sumber kedua ialah Empangan Mae Klong di Kanchanaburi yang membekalkan air mentah ke terusan bekalan air bahagian barat sebelum disalurkan ke loji rawatan air Mahasawat di daerah Bang Kruai, Nonthaburi.

Kedua-dua sumber itu terletak di lembangan sungai yang berasingan daripada sungai Sai, Kok dan Mekong, yang merupakan sebahagian daripada Lembangan Sungai Mekong.

MWA turut menegaskan pihaknya tidak menggunakan air daripada Lembangan Sungai Bang Pakong.

Agensi itu berkata, pemantauan dilakukan sepanjang masa menerusi sistem ujian kualiti air dalam talian secara masa nyata yang meliputi sumber air mentah, proses rawatan serta sistem pengagihan bagi memastikan bekalan air paip mematuhi piawaian ditetapkan.

MWA juga terus memantau perkembangan semasa serta sebarang kemungkinan risiko yang boleh menjejaskan kualiti air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini