JELEBU: Kejadian paip pecah di sebuah kilang kelapa sawit dikenal pasti sebagai punca awal pencemaran Sungai Marong berhampiran Kampung Lakai di sini, kelmarin.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Abdul Aziz Parmin berkata, siasatan awal mendapati paip yang menghubungkan tangki anaerobik ke kolam fakultatif di premis berkenaan telah pecah sehingga menyebabkan kebocoran air buangan kilang tersebut.
Menurutnya, kolam berkenaan digunakan bagi merawat air buangan kilang kelapa sawit yang dikenali sebagai efluen kilang kelapa sawit (POME).
“Pasukan JAS telah turun ke lokasi bagi menjalankan siasatan pada 2 April lalu dan persampelan juga telah dibuat bagi mengenal pasti tahap pencemaran.
“Kebocoran tersebut telah dikenal pasti dan tindakan pembaikan segera telah diambil oleh pihak kilang sawit terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Abdul Aziz berkata, sehubungan itu siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Tambahnya, sekiranya didapati berlaku kecuaian oleh pihak kilang berkenaan, tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut peruntukan akta tersebut.
“Ketika ini kita sedang mendapatkan laporan penuh daripada premis terbabit selain menunggu keputusan analisis kimia daripada sampel yang diambil,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pelbagai spesies ikan dengan anggaran berat kira-kira 50 kilogram dilaporkan mati akibat pencemaran sungai tersebut.
Sementara itu, Ketua Daerah Perikanan Jelebu, Mohd. Azhar Jusoh berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima aduan daripada nelayan darat yang berada di kawasan berkenaan.
Katanya, sampel ikan dan air diambil untuk dianalisis bagi mengenal pasti kehadiran bakteria serta parasit selain menilai tahap kualiti air sungai tersebut.
“Kesemua sampel telah dihantar untuk dianalisis di Makmal Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur International Airport (KLIA).
“Berdasarkan pemerhatian awal, air sungai itu berwarna hitam dan berbuih. Selain itu terdapat ikan yang timbul di permukaan air dan ada juga yang mati.
“Setakat ini, anggaran jumlah ikan yang mati adalah sekitar 50 kilogram. Bagaimanapun, ketika pemeriksaan semalam, air sungai didapati sudah tidak berbuih walaupun warnanya masih kelihatan hitam,” katanya.
Tambahnya, keadaan ikan juga dilaporkan sudah kembali normal dan tidak lagi timbul seperti sebelum ini. – UTUSAN










