KLANG: Sebuah tapak pembuangan sampah haram disyaki menjadi punca air di Sungai Serdang, Kapar, di sini bertukar menjadi hitam.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannya berkata, aliran tersebut dipercayai berpunca daripada cuaca hujan yang berpanjangan di lokasi tersebut sepanjang minggu lalu.
“Pasukan LUAS menjejaki aliran Sungai Serdang ke bahagian hulu menggunakan dron dan mendapati terdapat satu bekas tapak pembuangan sampah.
”Semakan lanjut LUAS menemukan aliran hitam keluar daripada bekas tapak tersebut yang dikhuatiri dari air larut resapan,” katanya, hari ini.
Jelasnya, bagaimanapun tapak pembuangan sampah haram itu sudah pun ditutup sejak dua tahun lalu oleh agensi berkaitan dan tiada pembuangan sampah baharu dimaklumkan.
“Laluan ke tapak berkenaan juga ditutup menggunakan batu konkrit.
“Pasukan LUAS menjalankan pensampelan kualiti air dan kesemua sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut,” ujarnya.
Katanya lagi, bagaimanapun tiada loji rawatan air (LRA) di sepanjang aliran sungai berkenaan.
“LUAS juga telah berkomunikasi dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan berhubung insiden ini khususnya melibatkan tapak pembuangan sampah untuk tindakan selaras dengan bidang kuasa agensi.
“Pemantauan susulan akan dilakukan oleh LUAS bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang,” tambahnya. – UTUSAN











