Kelewatan aset diakui, kerajaan pastikan perolehan ikut jadual

Kelewatan aset diakui, kerajaan pastikan perolehan ikut jadual

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengakui berlaku kelewatan dalam perolehan aset ketenteraan namun komited memastikan usaha pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikut perancangan ditetapkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan tidak menafikan terdapat kelewatan berkenaan termasuk keadaan aset usang seperti yang dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin 

Beliau berkata, usaha-usaha tersebut dijalankan menerusi Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Kajian Separuh Penggal KPP yang memberi tumpuan kepada pemodenan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap cabang perkhidmatan mempunyai pelan pembangunan tersendiri melalui Angkatan Masa Hadapak termasuk pelan transformasi 15 ke 5 bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Armu4NextG bagi Tentera Darat.

“Dalam itu semua ada perancangannya. Jadi hanya diminta supaya Kementerian Kewangan meluluskan apa yang kita minta,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4 2026 PLKN 3.0 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini.

Mengulas kelewatan penghantaran aset selepas perolehan diluluskan, Mohamed Khaled berkata, kementerian sentiasa memantau perkembangan projek menerusi pelbagai jawatankuasa dan pasukan khas bagi memastikan penyerahan dibuat mengikut jadual ditetapkan.

Beliau berkata, antaranya ialah penerimaan dua pesawat pejuang FA-50 pada tahun ini, manakala empat lagi dijadualkan diterima sebelum April tahun depan.

“Seterusnya pada Mac 2028, kesemua 18 pesawat itu perlu kita terima.

“Selain itu, kerajaan turut menjangkakan penerimaan aset kapal misi pesisir(LMS) dan pesawat rondaan maritim (MPA) sekitar Mac hingga April tahun depan bagi meningkatkan keupayaan kesedaran domain maritim negara,” katanya.

Menurutnya, keupayaan itu penting bagi memastikan Malaysia mempunyai pemantauan dan kehadiran ketenteraan di kawasan perairan negara khususnya di Laut China Selatan yang mempunyai pelbagai tuntutan bertindih.

“Kalau kita kata satu-satu kawasan laut itu hak milik kita, kita mesti ada keupayaan kesedaran domain maritim di situ.

“Kita juga mesti ada ‘kehadiran’ maknanya kapal kita boleh pergi dan kehadiran kita dapat dilihat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled mengakui projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) mengalami kelewatan, namun perkembangan pembinaan kapal kini menunjukkan kemajuan apabila bentuk fizikal kapal sudah dapat dilihat.

Beliau berkata, pihaknya berharap kapal berkenaan dapat diserahkan mengikut sasaran yang dimaklumkan oleh syarikat pembina, iaitu pada April tahun depan.

“Kita hanya lewat soal LCS tetapi hari ini kita dah nampak, dah ada bentuk kapal betul-betul. Hanya tidak ada mungkin peluru berpandu, kita pun tidak tahu apa isunya, tetapi insya-Allah kita harap ia akan diserahkan bulan April,” katanya.

Mengulas kekangan peruntukan, beliau berkata, konflik di Asia Barat membabitkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran serta sekatan di Selat Hormuz turut memberi kesan kepada perdagangan dan pertumbuhan ekonomi dunia, sekali gus mempengaruhi jangkaan kerajaan terhadap peruntukan pertahanan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu memastikan keupayaan pertahanan negara terus diperkukuh walaupun berdepan kekangan kewangan.

“Kita faham tidak semua boleh beri pertahanan, orang cakap tidak ada perang, kenapa nak beri (peruntukan)? Tetapi kita kena faham pembelian aset, kekuatan aset dan keupayaan menguasai teknologi itu akan menghindar mana-mana pihak yang berniat tidak baik daripada menyerang negara.

“Jadi, kita mesti ada kekuatan minimum yang perlu dimiliki pasukan tentera kita,” katanya.

Sabtu lalu, Anwar  menyuarakan kebimbangan berhubung kelewatan berpanjangan dalam projek perolehan pertahanan, bayaran komisen tinggi kepada ejen serta isu aset ketenteraan usang yang menjejaskan keupayaan pertahanan negara.

Beliau dilaporkan berkata, sebahagian projek membabitkan pesawat dan kapal tentera masih gagal disiapkan sehingga tempoh 20 tahun, manakala ATM terus mengoperasikan kelengkapan yang sudah berusia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini