Produk PMKS tembusi pasaran China menerusi Alibaba

Produk PMKS tembusi pasaran China menerusi Alibaba

MOHAMAD ALAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membangunkan inisiatif Malaysia Mall bagi memasarkan produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan ke China menerusi platform e-dagang Tmall dan Taobao.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik dengan Alibaba bagi membantu usahawan tempatan memperluas akses pasaran antarabangsa.

Katanya, kerajaan turut meneroka penggunaan platform Daraz bagi membuka peluang kepada produk PMKS Malaysia menembusi pasaran Asia Selatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sektor e-dagang perlu bersifat dua hala, iaitu bukan sekadar menjadi saluran kemasukan produk luar ke pasaran tempatan tetapi turut berperanan sebagai wahana untuk membawa produk Malaysia menembusi pasaran antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) berhubung usaha kerajaan memperluas manfaat kerjasama teknologi dengan Alibaba kepada PMKS di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kerjasama itu dipergiat susulan lawatan kerja Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ke Alibaba Centre di Guangzhou, China pada 3 September lalu.

Katanya, SME Corp. Malaysia turut menjalinkan kerjasama dengan Lazada Malaysia menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 15 Oktober lalu sempena Persidangan Enterprise 50 (E50).

Kerjasama itu melibatkan pembangunan Inisiatif Eksport Digital PMKS (MSME Digital Export Initiative) bagi memudahkan usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa melalui ekosistem Alibaba termasuk Alibaba.com, Tmall, Taobao dan Lazada.

Selain itu, beliau berkata, Bank Rakyat sedang meneroka kerjasama dengan Alibaba dan Lazada bagi memperluas peluang perniagaan serta eksport kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Sebagai langkah awal, Bank Rakyat akan mengenal pasti 30 hingga 50 PKS berpotensi untuk mengikuti sesi kesedaran, latihan serta program rintis pendaftaran e-dagang,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan turut merangkumi penerokaan sokongan pembiayaan, khidmat nasihat perniagaan dan peluang eksport bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan ke pasaran global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini