Ribuan penerbangan AS masih tergendala, penumpang tertekan

Ribuan penerbangan AS masih tergendala, penumpang tertekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ribuan penerbangan di Amerika Syarikat (AS) dibatalkan atau mengalami kelewatan ketika sistem kawalan trafik udara negara itu masih dalam proses pemulihan susulan kegagalan teknikal yang menyebabkan semua pesawat diarahkan berhenti berlepas, satu kejadian yang jarang berlaku di seluruh negara.

Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy berkata, operasi penerbangan dijangka kembali normal selewat-lewatnya pada Isnin.

“Kami mempunyai pesawat dan kru yang berada di lokasi tidak sepatutnya, jadi keadaan ini memerlukan sedikit masa untuk dipulihkan,” katanya kepada rakan penyiar di CBS.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih 8,800 penerbangan mengalami kelewatan manakala 2,400 lagi dibatalkan pada Ahad.

Presiden, Donald Trump pada Ahad menggesa Kongres meluluskan peruntukan tambahan bagi memodenkan sistem kawalan trafik udara negara itu.

Arahan menghentikan semua pesawat yang dijadualkan berlepas dari AS pada Jumaat lalu mencetuskan kekacauan di lapangan terbang di seluruh negara.

Lebih 3,500 pesawat sedang berada di udara ketika Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengumumkan pada pukul 3.54 petang (waktu tempatan) bahawa semua penerbangan dihentikan sehingga diberitahu kelak.

Sebahagian pesawat terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain, manakala selebihnya meneruskan penerbangan ke destinasi masing-masing.

Menurut laman pemantauan penerbangan, FlightAware, sebanyak 8,500 penerbangan mengalami kelewatan manakala 8,000 lagi dibatalkan susulan kejadian itu.

Arahan berkenaan menyebabkan penumpang terkandas di dalam pesawat di landasan, tanpa dapat berlepas atau kembali ke pintu pelepasan.

Penumpang lain pula terpaksa bermalam di lapangan terbang, tidur di lantai dan berusaha menghubungi syarikat penerbangan masing-masing.

Gangguan itu turut memberi kesan kepada jadual penerbangan di seluruh dunia, termasuk beberapa penerbangan dari United Kingdom (UK) dan Eropah yang terpaksa dibatalkan.

Arahan menghentikan penerbangan itu ditarik balik selepas kira-kira empat setengah jam, namun kesannya berterusan sepanjang hujung minggu.

Pada Sabtu, syarikat penerbangan membatalkan lebih 5,900 penerbangan, manakala lebih 7,000 lagi mengalami kelewatan.

Pihak penyiasat masih berusaha mengenal pasti punca sebenar kegagalan teknikal itu serta pihak yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun, Duffy berkata, pentadbiran memutuskan untuk menghentikan penerbangan selepas berlaku kegagalan pada sistem utama yang membolehkan pengawal trafik udara berkomunikasi dengan juruterbang.

Beliau menjelaskan, sebuah router yang dipasang sebagai sebahagian daripada kerja menaik taraf sistem daripada penggunaan wayar tembaga kepada gentian optik mula menghantar isyarat yang tidak tepat.

Menurutnya, peralatan yang berfungsi mengarahkan trafik dalam rangkaian itu dipasang di El Dorado, Arkansas menyebabkan rangkaian sistem berkenaan dibanjiri isyarat.

Duffy berkata, masalah seumpama itu akan terus berlaku selagi AS tidak melaksanakan perubahan besar bagi memodenkan sistem kawalan trafik udaranya.

Beliau menegaskan, sistem berkenaan memerlukan penambahbaikan menyeluruh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini