Pakatan Harapan perlu bangkit sebelum PRU16 - Utusan Malaysia

Pakatan Harapan perlu bangkit sebelum PRU16

Pakatan Harapan (PH) perlu bangkit segera selepas mengalami kekalahan dalam PRN Melaka. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukannya dalam Kerajaan Persekutuan jika mahu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kekalahan PH dalam tiga siri Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk Melaka berkemungkinan mencerminkan ketidakpuasan hati sebahagian pengundi terhadap PH, khususnya dalam menangani isu kos sara hidup, tekanan ekonomi dan keberkesanan dasar kerajaan.

Menurutnya, walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat, pengundi tetap menilai sejauh mana manfaatnya dirasai dalam kehidupan seharian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isu kos sara hidup, tekanan ekonomi, kemampuan rakyat meningkatkan pendapatan dan persepsi terhadap keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan boleh mempengaruhi kecenderungan pengundi.

“Keputusan ini merupakan satu amaran bahawa PH tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukannya di Putrajaya menjelang PRU16,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada PRN Melaka kelmarin, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, diikuti PN dengan tiga kerusi manakala PH hanya memperoleh empat kerusi menerusi DAP.

Mohammad Tawfik berkata, kekalahan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil serta kegagalan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) memenangi sebarang kerusi menunjukkan PH berdepan cabaran untuk mengekalkan sokongan, khususnya pengundi Melayu.

Bagaimanapun, katanya, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak semestinya bermaksud rakyat menolak keseluruhan kerajaan memandangkan BN turut menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Saya lebih melihat keputusan ini sebagai satu undi protes yang berpotensi ditujukan secara khusus kepada PH di samping penerimaan pengundi terhadap prestasi BN di peringkat negeri,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Mazlan Ali berkata, keputusan PRN Melaka turut menunjukkan kemungkinan berlaku peralihan sokongan pengundi Cina kepada BN susulan ketidakpuasan hati terhadap PH, khususnya DAP.

Katanya, kemenangan besar calon BN DUN Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu signifikan memberi petunjuk kepada perubahan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini