PETALING JAYA: Ibu bapa diminta melarang anak bermain air banjir khususnya di kawasan berhampiran longkang besar dan sungai kecil berikutan arus deras yang sukar dijangka.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, orang ramai turut disarankan menyemak ramalan cuaca sebelum melakukan aktiviti di sungai, air terjun atau kawasan rekreasi air bagi mengelakkan kejadian lemas akibat kepala air berulang.
Menurutnya, pengunjung juga perlu memilih lokasi rekreasi yang selamat serta mematuhi papan tanda dan arahan keselamatan yang disediakan.
“Pengunjung hendaklah sentiasa peka terhadap perubahan keadaan sungai seperti air bertukar keruh, paras air meningkat secara mendadak atau terdengar bunyi deruan kuat dari arah hulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkhemah atau berehat berhampiran dengan tebing sungai, terutama di kawasan rendah.
Jelasnya, kanak-kanak juga perlu sentiasa berada di bawah pengawasan orang dewasa dan tidak dibenarkan bermain bersendirian berhampiran kawasan berair.
“Sekiranya terdapat tanda-tanda kepala air, semua pengunjung perlu segera meninggalkan kawasan sungai dan bergerak ke kawasan tinggi yang lebih selamat.
“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak cuba meredah atau melawan arus deras kerana kekuatan arus mampu menghanyutkan seseorang meskipun individu tahu berenang,” jelasnya.
Nor Hisham berkata, sebelum melakukan sebarang aktiviti rekreasi, mereka juga disarankan memaklumkan lokasi serta perancangan perjalanan kepada ahli keluarga atau rakan sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku kecemasan.
Dalam pada itu, pengetahuan asas pertolongan cemas dan teknik menyelamat di air juga perlu dipelajari bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan ketika berhadapan situasi kecemasan.
“Kesedaran, pematuhan terhadap arahan amat penting,” katanya. – UTUSAN











