SANAA: Pasukan Yemen yang berjuang bagi pihak kerajaan disokong Arab Saudi dan diiktiraf masyarakat antarabangsa mengumumkan pengunduran dari kawasan menghadap Selat Bab el-Mandeb yang strategik pada Ahad, sekali gus membolehkan kumpulan Houthi yang berpihak kepada Iran menguasai kawasan berkenaan.
Lapor Reuters, pengunduran pasukan kerajaan dari kawasan Bab el-Mandeb memberikan kelebihan lebih besar kepada Houthi untuk menguasai laluan maritim penting itu.
Ia sekali gus mewujudkan satu lagi titik tekanan terhadap perkapalan global ketika Iran terus menyekat trafik maritim di Selat Hormuz di seberang Semenanjung Arab.
Keadaan itu berpotensi menyekat lagi laluan utama penghantaran minyak negara-negara pengeluar minyak Teluk ke pasaran antarabangsa.
Selat Bab el-Mandeb merupakan antara laluan paling penting dan sibuk di dunia bagi penghantaran barangan serta komoditi melalui laut, khususnya dari Asia ke Eropah menerusi Terusan Suez di Mesir.
Pasukan Yemen di bahagian selatan berkata, mereka akan menyusun semula penempatan anggota ke arah Aden yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan, ketika Houthi yang menguasai sebahagian besar wilayah utara termasuk ibu negara Sanaa dan kawasan paling padat penduduk di negara itu, meningkatkan tekanan terhadap kawasan selatan yang masih dikuasai kerajaan.
“Angkatan Tentera Selatan mengumumkan pelaksanaan operasi penyusunan semula penempatan pasukan dari Lapangan Terbang Dhubab dan kawasan Bab el-Mandeb, di barat wilayah Taiz.
“Langkah ini diambil dengan mengutamakan keselamatan ibu negara, Aden serta wilayah-wilayah berdekatan, selain memperkukuh barisan hadapan dan menangani ancaman sedia ada,” menurut kenyataan pasukan berkenaan.
Pasukan kerajaan melancarkan operasi ketenteraan pada Oktober lalu bagi merampas semula kawasan pesisir pantai strategik daripada kumpulan itu, yang mara ke selatan pada September dalam usaha menguasai keseluruhan pantai Yemen di Laut Merah.
Serangan pantas Houthi ketika itu membawa kumpulan berkenaan semakin hampir ke Selat Bab el-Mandeb.
Pertempuran yang semakin memuncak itu, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang dirundingkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022, membuka satu lagi medan konflik tidak menentu dalam perang lebih besar antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Houthi terus melancarkan serangan terhadap Arab Saudi, sekutu utama AS dan pengeksport minyak mentah terbesar dunia.
Serangan terhadap kerajaan Arab Saudi yang sebelum ini menikmati keadaan relatif aman pada bulan-bulan awal perang Iran selama sembilan bulan itu, menjejaskan penerbangan dan bekalan minyak susulan serangan Houthi terhadap pelabuhan, lapangan terbang serta kemudahan syarikat minyak negara, Saudi Aramco.
Antara sasaran berkenaan termasuk Yanbu, hab eksport minyak Arab Saudi di pesisir Laut Merah.











