PETALING JAYA: Tujuh daerah di Terengganu dijangka berlaku hujan berterusan tahap waspada sehingga Selasa.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tujuh kawasan berkenaan membabitkan daerah Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.
Katanya, analisis terhadap model ramalan cuaca menunjukkan penumpuan angin dijangka berlaku di sekitar perairan Pantai Timur Semenanjung sehingga 17 November.
“Keadaan itu berpotensi membawa hujan berterusan di Terengganu dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Sementara itu, METMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hingga pukul 5 petang ini.
“Cuaca buruk dijangka melanda seluruh Perlis, Kuala Lumpur dan Melaka.
“Amaran sama turut membabitkan Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Sik, Padang Terap, Baling dan Pokok Sena), Pulau Pinang (Timur Laut dan Barat Daya) serta Perak (Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim),” katanya.
Di Selangor kawasan yang dijangka terjejas ialah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan Hulu Langat, manakala di Negeri Sembilan membabitkan Rembau dan Port Dickson.
Sementara itu, di Sarawak, amaran berkenaan membabitkan Kuching (Kuching dan Bau), Samarahan, Betong, Sarikei (Sarikei dan Pakan) serta Serian (Siburan).
Di Sabah, kawasan terbabit ialah Kudat (Pitas dan Kota Marudu), Pantai Barat (Ranau, Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan), Sandakan (Telupid dan Paitan) serta Pedalaman (Tambunan). – UTUSAN










