KUALA NERUS: Sebanyak 164 buah sekolah di bawah lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Terengganu dikenal pasti sebagai lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Daripada jumlah itu, 11 sekolah mencatatkan kekerapan pengaktifan tertinggi sebagai PPS sepanjang tempoh 2018 hingga 2025, manakala 149 institusi pendidikan lagi dikenal pasti berada di zon kerap banjir.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, pihaknya turut mengenal pasti 63 sekolah sebagai kawasan berisiko tinggi atau hotspot banjir yang memerlukan persediaan lebih awal.
Menurut beliau, pihaknya juga telah melaksanakan simulasi banjir serta mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama agensi berkaitan di peringkat negeri dan daerah bagi memastikan tindakan menghadapi bencana itu dapat dilaksanakan dengan teratur.
“Persediaan ini bukan sahaja melibatkan sekolah yang dijadikan PPS, tetapi juga sekolah yang berisiko dinaiki air akibat banjir serta fenomena air pasang.
“Kita tidak boleh menjangkakan kawasan yang akan dinaiki air kerana ada tempat yang dijangka banjir tetapi tidak berlaku, sebaliknya kawasan yang tidak dijangka pula mengalami kenaikan air.
“Jadi, semua sekolah perlu mengambil langkah awal termasuk memastikan peralatan dan aset penting seperti komputer dipindahkan ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menjulang Bakti, Menyulam Legasi, di sini.
Tambahnya, kerjasama agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) penting bagi memastikan bantuan serta keperluan logistik dapat digerakkan segera sekiranya berlaku banjir.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Terengganu kini mempunyai sebuah Pusat Pemindahan Kekal Bencana ( PPKB) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Matang di Hulu Terengganu yang sebelum ini berfungsi sebagai PPS dan akan mula digunakan tahun ini.
Katanya, kemudahan itu dibangunkan dengan peruntukan RM1 juta daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menaik taraf PPS berkenaan kepada pusat pemindahan kekal yang mampu menempatkan lebih 500 mangsa pada satu-satu masa.
“Selain kemudahan asas, kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur termasuk tandas turut dilaksanakan bagi memastikan keselesaan mangsa yang ditempatkan di situ. Selain itu, sebuah lagi PPKB sedang dibangunkan di SK Banggol Peradong di Kuala Terengganu dan dijangka siap pada Mac tahun depan,” katanya.
Mengulas persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula 23 November ini, beliau berkata, JPN Terenggani turut mengambil langkah awal bagi memastikan calon tidak terjejas sekiranya berlaku banjir.
Katanya, antara tindakan dilakukan adalah mengenal pasti sekolah berisiko dan menyediakan penempatan alternatif di sekolah berhampiran bagi memudahkan calon menduduki peperiksaan. – UTUSAN











