ABFGR sasar transaksi RM35 juta, perluas ke Pantai Timur

ABFGR sasar transaksi RM35 juta, perluas ke Pantai Timur

ABSOLUT Bazaar X Festival Gaya Raya (ABFGR) 2027 akan berlangsung di Kuala Lumpur dan buat julung kalinya di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABFGR) menyasarkan nilai transaksi sekitar RM35 juta bagi edisi 2027, meningkat RM10 juta berbanding kira-kira RM25 juta yang direkodkan sebelum ini.

Sasaran tersebut didorong peluasan acara ke Pantai Timur serta pengenalan model baharu dikenali sebagai Tapestry by ABGR: Singgah Raya, yang dijangka membuka peluang pasaran lebih luas kepada usahawan tempatan.

Penganjur Bersama ABFGR dan Tapestry by ABGR: Singgah Raya, Datin Wira Sabrina Abdullah berkata, pihaknya optimis dapat mencapai sasaran berkenaan berdasarkan pertumbuhan jualan yang direkodkan setiap tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap tahun, kami melihat pertumbuhan jualan sekitar 20 hingga 25 peratus secara purata dan kami berharap momentum itu dapat diteruskan pada tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

ABFGR 2027 akan berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, dari 19 hingga 22 Februari 2027 selama 66 jam tanpa henti.

Buat julung kalinya, acara itu turut diperluas ke Pantai Timur menerusi penganjuran di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, dari 5 hingga 7 Mac 2027, dengan penyertaan lebih 900 vendor disasarkan di kedua-dua lokasi.

Acara itu turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk sesi ramah mesra bersama selebriti dan pempengaruh, Mini Absolut Foodfest, konsert mini, jualan ‘happy hour’, cabutan bertuah, Wheel of Fortune dan Money Chamber.

Dalam perkembangan sama, ABGR memperkenalkan model acara baharu dikenali sebagai Tapestry by ABGR: Singgah Raya yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Februari 2027 di The Arch Galeries, Kuala Lumpur.

Pengasas Bersama ABGR PLT, Nadiyah Shahab berkata, Tapestry akan membawa konsep dan pengalaman berbeza daripada ABFGR, selain memberi ruang kepada jenama yang mempunyai pendekatan lebih khusus untuk mendekati kelompok pengguna baharu.

Tapestry by ABGR: Singgah Raya akan menampilkan tiga konsep iaitu Premium, Pasar Lambak (Flea Market) dan Mini AFF, dengan harga penyertaan ruang niaga antara RM2,800 hingga RM4,000 bergantung kepada kategori dan lokasi.

ABFGR 2027 turut mendapat sokongan rakan rasmi baharu termasuk Advance Intelligence Group (ATOME) sebagai Rakan Pembayaran BNPL Rasmi, Media Prima Berhad sebagai Media Rasmi dan Blackmores Malaysia Sdn Bhd sebagai Rakan Kesihatan dan Kesejahteraan Rasmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini