MELAKA: Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berjanji membalas kepercayaan rakyat terhadap kerajaan baharu dengan tindakan dan hasil sebaliknya bukan sekadar kata-kata selepas sekali lagi diberi amanah menerajui pentadbiran Negeri Melaka.
Menurutnya, mandat yang diberikan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membawa tanggungjawab besar kepada beliau serta seluruh barisan wakil rakyat yang dipilih.
Jelasnya, beliau memberi jaminan bahawa segala komitmen dan tawaran yang dikemukakan menerusi manifesto bersama BN dan PN akan menjadi antara keutamaan pentadbiran baharu.
“Rakyat telah membuat pilihan. Rakyat telah memberikan kepercayaan. Kini tanggungjawab saya dan semua barisan wakil rakyat yang dipilih membalas kepercayaan itu dengan kerja dan bukan sekadar kata-kata.
“Amanah yang diterima bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya merupakan tanggungjawab besar yang akan digalas dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan,” katanya dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.
Ab Rauf menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang memperkenankan pelantikanya sebagai Ketua Menteri yang ke-13.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka atas keyakinan dan mandat yang diberikan kepada BN dan PN untuk meneruskan pentadbiran negeri.
Menurutnya, kemenangan tersebut bukan kemenangan peribadinya atau semata-mata kemenangan parti politik, sebaliknya mencerminkan keyakinan dan harapan rakyat untuk melihat Melaka terus maju, stabil serta makmur.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh rakyat Melaka supaya kembali bersatu selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 semalam.
“Pilihan raya telah pun selesai. Kita mungkin berbeza pandangan dan pilihan ketika berkempen, tetapi hari ini, kita perlu kembali bersatu sebagai sebuah keluarga besar Melaka.
“Saya bukan Ketua Menteri kepada mereka yang mengundi saya sahaja. Saya adalah Ketua Menteri kepada seluruh rakyat Melaka, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun kecenderungan politik,” katanya.
Beliau menegaskan tidak ada rakyat yang sepatutnya dipinggirkan, kawasan yang dilupakan atau suara yang diketepikan dalam usaha membangunkan negeri.
Dalam mandat baharu itu, Ab Rauf berkata, pentadbirannya akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negeri, menarik pelaburan berkualiti serta memperkasa kebajikan rakyat.
Katanya, pelaksanaan projek pembangunan strategik turut akan dipercepatkan di samping memperkukuh respons kerajaan terhadap setiap aduan rakyat.
“Kerajaan yang diberikan mandat mesti segera bekerja kerana rakyat bukan sahaja mahu mendengar janji, tetapi mahu melihat bukti,” katanya.
Ab Rauf turut mahu seluruh jentera pentadbiran negeri memperkukuh budaya kerja berintegriti, cekap dan responsif serta sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.
Beliau dalam masa sama mengingatkan semua wakil rakyat yang menerima mandat supaya tidak lupa bahawa jawatan yang disandang adalah amanah, bukannya satu keistimewaan.
“Saya tidak menjanjikan bahawa setiap isu dan cabaran dapat diselesaikan dalam sekelip mata.
“Tetapi saya berjanji bahawa kita tidak akan berhenti berusaha, tidak akan berhenti bekerja dan tidak akan sekali-kali berhenti memperjuangkan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN











