SpaceX cipta sejarah berjaya 'tangkap' kapal angkasa Starship

SpaceX cipta sejarah berjaya ‘tangkap’ kapal angkasa Starship

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Syarikat angkasa lepas milik Elon Musk, SpaceX berjaya melakukan operasi ‘menangkap’ kapal angkasa buat kali pertama, satu pencapaian teknikal yang membuktikan kemungkinan penggunaan roket boleh guna semula sepenuhnya dan membawa penerbangan angkasa lepas pada kos lebih rendah.

Kapal angkasa Starship muncul dari balik awan selepas berjaya mengharungi suhu ekstrem ketika memasuki semula atmosfera bumi sebelum menurun perlahan-lahan di ruang udara Starbase dan mendarat dengan lancar di antara sepasang lengan mekanikal yang dikenali sebagai ‘chopstick’ di atas Tapak Pelancaran 2.

Kejayaan itu menandakan satu pencapaian penting dalam usaha industri angkasa lepas selama beberapa dekad untuk membangunkan sistem roket yang boleh digunakan semula sepenuhnya, sekali gus mengurangkan kos misi secara ketara dan membolehkan pelancaran dilakukan dengan lebih kerap.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Itulah matlamat paling sukar dicapai dalam penerbangan angkasa lepas, apabila kapal menjunam menembusi api sebelum disambut dari udara oleh struktur keluli. Kami berjaya menangkap Starship dan kini segalanya berubah,” kata jurucakap SpaceX, Dan Huot.

Orang ramai yang berkumpul di pantai Teluk Mexico berhampiran Starbase bersorak kegembiraan sebaik kapal angkasa itu kelihatan, manakala lagu popular genre soft rock 1977, Baby Come Back, dimainkan ketika detik cemas penurunan terakhir kapal berkenaan menerusi siaran langsung rasmi SpaceX.

Ia merupakan penerbangan ujian ke-15 bagi sistem roket terbesar dan paling berkuasa di dunia itu.

Kapal angkasa Starship yang menjadi nama kepada sistem roket berkenaan mengorbit bumi sebanyak 14 kali dan melepaskan 26 satelit untuk rangkaian internet Starlink milik Musk sepanjang perjalanan selama 22 jam.

Sebelum ini, SpaceX sudah tiga kali berjaya menangkap roket penggalak yang kembali ke bumi. Bagaimanapun, operasi menangkap Starship jauh lebih rumit kerana kapal angkasa itu menjunam pada kelajuan lebih tinggi dan dari altitud jauh lebih tinggi berbanding roket penggalak.

Musk mengucapkan tahniah kepada pasukan SpaceX dan memuat naik video kapal angkasa itu tergantung di antara lengan mekanikal berkenaan sambil menyifatkannya kelihatan hebat.

Pakar aeroangkasa di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Clayton Swope menyifatkan misi itu sebagai pencapaian teknikal besar yang membuktikan konsep Starship sebagai kapal angkasa boleh guna semula sepenuhnya berpotensi menjadi kenyataan.

“Namun, kita perlu melihat seberapa cepat mereka mampu mengulangi kejayaan itu,” katanya.

Penganalisis, Kathleen Curlee turut memuji pencapaian berkenaan tetapi berkata, masih banyak perkara perlu dilakukan.

“SpaceX perlu mencatatkan kejayaan berulang kali bagi membuktikan keupayaan sistem itu mengendalikan muatan sensitif dan misi tertentu,” kata Curlee dari Pusat Keselamatan dan Teknologi Baharu Universiti Georgetown.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini