Trump beri Musk anugerah sains tertinggi AS

Trump beri Musk anugerah sains tertinggi AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden, Donald Trump akan menyampaikan anugerah sains tertinggi Amerika Syarikat (AS) kepada sekutu rapatnya, Elon Musk dan beberapa tokoh teknologi lain dalam satu majlis pada Khamis, menurut Rumah Putih.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengasas bersama Google, Sergei Brin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif AMD, Lisa Su turut menerima Pingat Sains Kebangsaan pada sidang kemuncak Sains: Zaman Keemasan Baharu

Taikun komputer, Michael Dell dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella pula akan menerima Pingat Teknologi dan Inovasi Kebangsaan iaitu anugerah tertinggi dalam bidang berkenaan.

“Pentadbiran Trump berterima kasih atas sumbangan pemimpin luar biasa ini dalam bidang sains dan teknologi. Penerima anugerah ini membantu memastikan AS terus menerajui dunia dalam inovasi,” kata jurucakap Rumah Putih, Liz Huston dalam kenyataan kepada AFP pada Rabu.

Musk kembali mendapat sokongan Trump selepas hubungan mereka renggang tahun lalu susulan peranan taikun SpaceX dan Tesla itu ketika mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Musk juga merupakan penyumbang terbesar kepada kempen pilihan raya presiden Trump pada 2024.

Musk dan Huang kedua-duanya menghadiri jamuan negara yang dianjurkan Trump untuk Presiden China, Xi Jinping bulan lalu.

Bersama beberapa tokoh teknologi lain, mereka turut berada di Rumah Putih minggu lalu bagi rundingan yang menyaksikan ketua syarikat teknologi berjanji untuk mengawal selia sendiri bagi menangani kemungkinan ancaman daripada kecerdasan buatan (AI).

Trump menolak amaran bahawa AI boleh memusnahkan umat manusia, sebaliknya menegaskan teknologi itu penting bagi apa yang disifatkannya sebagai ‘zaman keemasan ekonomi AS’ dalam penggal keduanya.

Namun, Parti Republikan pimpinan Trump berdepan kemungkinan kehilangan kawalan terhadap Kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal bulan depan susulan kebimbangan pengundi terhadap perang Iran dan kos sara hidup.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini