MELAKA: Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh mandat mentadbir Melaka selepas berjaya memperoleh majoriti dua pertiga dengan menang 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, setakat pukul 8.50 malam tadi, antara kerusi yang dimenangi BN ialah DUN Ayer Molek, Lendu, Tanjung Bidara, Sungai Udang, Taboh Naning, Asahan, Ayer Limau, Duyong, Rim, Sungai Rambai, Merlimau, Machap Jaya, Serkam, Rembia, Kuala Linggi, Gadek, Klebang dan Telok Emas.
PN pula menang di Paya Rumput dan Bukit Katil menerusi Muhammad Ridzuan Mohd. Sarif sekali gus menewaskan penyandang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari. PN juga menang di kerusi Bemban.
Dalam pada itu, PH dilaporkan menang di Ayer Keroh, Kesidang, Banda Hilir dan Kota Laksamana.
Sementara itu, sehingga pintu pusat mengundi ditutup pukul 6 petang semalam, jumlah Peratusan Keluar Mengundi (VTO) secara masa nyata (real time) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi 70.59 peratus bersamaan 472,377 pengundi berdaftar.
Suasana gamat menyelubungi Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini apabila kemenangan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi berkata, kerjasama Muafakat Melaka itu berjaya menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.
Beliau berkata, jelas terbukti gabungan BN, PN menambat hati rakyat pelbagai kaum di Melaka.
“UMNO, Pas, MCA, MIC, Wawasan, Gerakan dan Friends of BN semuanya memberi sokongan dan dokongan untuk kita. Marilah sama-sama kita saksikan agenda Melaka Maju,” katanya.
Turut hadir di MITC ialah Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan pimpinan parti komponen.
PN pula diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Di DUN Tanjung Bidara, Ab. Rauf bukan sahaja mempertahankan kerusi itu malah meraih majoriti besar lebih 8,650 undi berbanding hanya 364 undi pada PRN Melaka 2021.
Ab. Rauf menewaskan calon PH, Mohd. Yunazri Mustamiri.-UTUSAN.











