Tambat sangkar pada pokok, selamatkan 20,000 ikan

Tambat sangkar pada pokok, selamatkan 20,000 ikan

MOHD. Ali Mat Isa memeriksa ikatan tali di atas sangkar ternakan ketika paras air Sungai Pahang meningkat dan arus deras berdekatan Kampung Lada, Jerantut, Pahang. – MINGGUAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang pengusaha ikan sangkar mengambil langkah luar biasa dengan menambat 14 sangkar ternakannya pada sebatang pokok besar di tebing sungai bagi menyelamatkan kira-kira 20,000 ikan patin dan tilapia daripada dihanyutkan arus deras Sungai Pahang.

Tindakan awal itu dilakukan bagi mengelakkan kerugian besar sekiranya berlaku banjir susulan hujan lebat di kawasan hulu, khususnya Ulu Tembeling, yang menyebabkan paras air sungai meningkat dan arus semakin deras.

Pengusaha ikan sangkar, Mohd. Ali Mat Isa, 49, berkata, persediaan berkenaan dilakukan sebaik bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) berikutan pengalaman berdepan banjir besar sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, semua sangkar dan rumah rakit ditambat menggunakan tali besar sepanjang 80 meter yang diikat pada pokok berkenaan bagi memastikan struktur itu tidak dihanyutkan arus.

“Usaha awal perlu dilakukan segera untuk menyelamatkan kira-kira 20,000 ikan patin dan tilapia berusia lebih lima bulan yang sudah matang serta boleh dipasarkan.

“Arus deras dari Ulu Tembeling mengalir melalui Sungai Tembeling sebelum bertembung dengan Sungai Jelai dari Lipis dan seterusnya memasuki Sungai Pahang. Keadaan itu boleh menyebabkan sangkar hanyut sekiranya tidak ditambat dengan kukuh,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kampung Lada di sini.

Mohd. Ali yang sudah 20 tahun mengusahakan ternakan ikan sangkar berkata, kejadian banjir besar pada 2014 dan beberapa tahun berikutnya menjadi pengajaran apabila ribuan ikan patin serta tilapia hanyut dibawa arus sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM100,000.

Katanya, pengalaman itu mendorongnya mengambil langkah lebih awal bagi memastikan sangkar ternakan tidak mengalami nasib sama ketika musim tengkujuh kali ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengusaha ikan sangkar turut berdepan pasaran lembap sejak awal bulan ini berikutan kekurangan pelanggan susulan bermulanya MTL yang dijangka berlanjutan hingga awal tahun depan.

“Pengunjung dari luar yang sebelum ini kerap membeli ikan patin dan tilapia juga semakin kurang datang ke daerah ini kerana mengambil langkah berjaga-jaga untuk merancang perjalanan, terutama bagi mereka yang mahu berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan ketika cuaca tidak menentu,” katanya.

Menurutnya, sangkar ternakan turut dilengkapi dua lapisan jaring bagi mengelakkan ikan terlepas selain melindungi ternakan daripada ancaman hidupan liar air seperti memerang.

Beliau berkata, keadaan itu memaksanya bermalam di kawasan ternakan bagi memantau paras air sungai serta memastikan 14 sangkar yang ditambat pada pokok besar berkenaan berada dalam keadaan selamat.

Katanya, ikan patin dan tilapia masih dijual di gerainya berhampiran Jalan Jerantut-Maran di Pekan Jerantut Feri pada harga RM22 sekilogram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini