Selepas 70 tahun penubuhan, IKMa catat pelbagai kejayaan

Selepas 70 tahun penubuhan, IKMa catat pelbagai kejayaan

Mohamad Alamin (tengah) bersama penerima anugerah pada Majlis Menjulang Legasi 70 tahun IKMa di WTC, Kuala Lumpur, kelmarin. Turut sama, Mohd. Ali Mansor (enam dari kanan). – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai institusi rujukan koperasi antarabangsa selepas 70 tahun penubuhannya apabila menerima pengiktirafan Cooperative Cultural Heritage (CCH) oleh International Cooperative Alliance (ICA) baru-baru ini.

Di samping itu, IKMa terus membuktikan peranannya apabila melatih kira-kira 944,505 pemimpin, pengurus dan anggota koperasi menerusi 15,674 program latihan serta bimbingan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, IKMa turut mencatat pencapaian membanggakan dari segi impak tahunan apabila konsisten melaksanakan purata 700 program.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, impak daripada program-program berkualiti tinggi ini berjaya meresap jauh ke dalam komuniti, menyaksikan penerima manfaat langsung mahupun tidak langsung mencecah hampir 55,000 orang setiap tahun.

“Transformasi demi transformasi telah dilalui dengan kemuncak kepada pemodenan struktur dan mandatnya terutama apabila pindaan Akta Institut Koperasi (Pemerbadanan) 1968 [Akta 865].

“Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan IKMa sebagai nadi utama rujukan latihan, penyelidikan, dan pembangunan modal insan koperasi negara,” katanya pada Majlis Menjulang Legasi 70 Tahun Jubli Platinum IKMa di Pusat Dagangan Dunia (WTC), kelmarin.

Yang turut hadir Ketua Pengarah IKMa, Datuk Dr. Mohd. Ali Mansor; Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Onn Abu Bakar; Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah serta barisan Timbalan Ketua Setiausaha dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Majlis makan malam itu diraikan bersama perwakilan antarabangsa dari Thailand, Indonesia, Brunei, Australia, Filipina, India, Ghana, Jepun, dan Mauritius yang menghadiri program International Cooperative Roundtable (ICR) 2026 pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sehingga akhir tahun 2025, ekosistem koperasi negara mencatatkan pencapaian kukuh apabila lebih 16,400 koperasi berdaftar dengan keahlian melebihi 7.33 juta orang.

Penjanaan perolehan perniagaan mencecah RM82 bilion manakala pemilikan aset bernilai RM186.7 bilion serta syer dan yuran anggota sebanyak RM18.6 bilion.

Majlis Menjulang Legasi 70 Tahun Jubli Platinum IKMa turut menyampaikan lima anugerah di mana Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad memperoleh Anugerah Inspirasi Koperasi manakala Koperasi Anugerah Haji Badji Semporna Berhad (Transformasi Digital Koperasi).

Setiap penerima anugerah menerima wang tunai RM5,000.

Anugerah Nadi Koperasi diberikan kepada Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad; Anugerah Koperasi Ikon (Koperasi Pelaburan Pekerja-pekerja Kejora Kota Tinggi Berhad dan Anugerah Khas Lestari (ESG) Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad.

Dalam pada itu, Mohd Ali berkata, IKMa memainkan peranan penting dalam ekosistem koperasi negara untuk berkembang secara professional dan berdaya saing sebagai tonggak kepada sosioekonomi negara.

Katanya, penyertaan delegasi dari sembilan negara dalam program ICR 2026 membuktikan kemampuan IKMa menjadi rujukan serantau dalam pembangunan gerakan koperasi.

“Kerjasama yang sedang dijalankan Indonesia bagi membangunkan Koperasi Merah Putih serta Mauritus turut mencerminkan minat negara luar untuk mendapatkan panduan dan kepakaran Malaysia dalam pembangunan koperasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini